PENDANG - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu diberi masa untuk melaksanakan pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun supaya ia boleh dilaksanakan tanpa campur tangan mana-mana pihak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, beberapa prosedur perlu dilalui SPR untuk melaksanakan perkara berkenaan termasuk urusan melibatkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Beliau berkata, antara perkara perlu diambil kira ialah alamat pengundi sama ada lengkap atau tidak kerana dibimbangi mereka tidak boleh mengundi sekiranya isu sebegini belum selesai.
"SPR melalui pengerusi lama menyatakan bahawa mereka memerlukan lebih kurang dua tahun dari Julai 2019 hingga Julai 2021 untuk membuat persiapan. Kita tahu ia kerana untuk pendaftaran automatik 18 tahun bukan mudah.
"Salah satu yang perlu diambil kira ialah apabila dibuat pendaftaran automatik, semua yang berumur 18 tahun ke atas sama ada bawah atau lebih 21 tahun yang belum mendaftar akan terdaftar secara automatik," katanya kepada pemberita selepas Program Malaysia Prihatin bersama barisan pengetua, guru besar dan pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah-sekolah sekitar Pendang di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pendang di sini pada Ahad.
Takiyuddin berkata, SPR juga yang akan menentukan lokasi mengundi bagi pengundi sama ada Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen berdasarkan alamat dalam kad pengenalan mereka.
"Bagaimanapun, perkara alamat dalam kad pengenalan sudah selesai atau pun belum, mereka perlu tanya kepada JPN.
"Misalnya, alamat dalam kad pengenalan ialah Kampung Charuk Kudung, Pendang. Mereka perlu diletakkan untuk mengundi di DUN mana? Tokai atau Sungai Tiang.
"Selagi tidak selesai perkara berkaitan alamat, kampung dan jalan yang mana, maka ini tidak boleh. Dibimbangi ada orang didaftarkan tetapi tidak boleh mengundi, ataupun dia sepatutnya mengundi di satu-satu kawasan tetapi mengundi di lokasi lain," katanya.
Selain itu, Takiyuddin berkata, sekiranya di peringkat Persekutuan perlembagaan dipinda untuk menurunkan umur calon bagi kerusi Parlimen, kerajaan negeri juga perlu pinda perlembagaan negeri untuk calon bagi kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
"Isu sekarang ialah adakah semua kerajaan negeri telah meminda Perlembagaan negeri masing-masing untuk menurunkan usia calon ADUN dari 21 tahun kepada 18 tahun. Ini mungkin antara masalah dihadapi SPR," katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, berilah SPR masa untuk menyelesaikan masalah berkenaan sebelum ia dilaksanakan.
"Seperti disebutkan sebelum ini, Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dijangka pada tahun 2023. Mungkin SPR buat pindaan dahulu dengan menjangkakan pilihan raya empat tahun lagi. Jadi masih jauh dan mereka ada dua tahun lagi," katanya.
Takiyuddin juga menegaskan bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menjelaskan bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) bukanlah anti Undi18.
Malah, katanya, mereka menyokong usul Undi18 ketika bergelar pembangkang dengan syarat pendaftaran hendaklah secara automatik.
"Saya diarahkan Perdana Menteri untuk mengadakan perjumpaan dengan SPR bagi mendapatkan maklumat dan apa sahaja masalah yang dihadapi SPR berhubung perkara itu," katanya.
Takiyuddin juga meminta rakyat tidak terlalu cepat menuduh SPR atau kerajaan sengaja melengah-lengahkan pelaksanaan berkenaan tanpa mengetahui kekangan yang dihadapi.
.