STFC tambah saranan SOP pembukaan semula rumah ibadat

Iklan
Selangor Task Force Covid-19 (STFC) menambah beberapa saranan kepada SOP berkaitan pembukaan rumah ibadat selain Islam ketika PKPB masih berkuatkuasa.

SHAH ALAM - Selangor Task Force Covid-19 (STFC) menambah beberapa saranan kepada prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pembukaan rumah ibadat selain Islam ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) masih berkuatkuasa.

STFC menerusi satu kenyataan berkata, penambahan SOP yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 4 Mac lalu dibuat untuk menyasarkan pembukaan semula rumah ibadat secara selamat berikutan kes harian Covid-19 di Selangor masih tinggi.

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan itu, STFC menggariskan lima penambahan saranan kepada SOP tersebut iaitu perlindungan kepada warga emas; penambahan sesi upacara ibadat dengan durasi pendek dan kehadiran yang terhad; memanfaatkan ruang terbuka; pencegahan di kawasan pengudaraan tertutup serta limitasi interaksi sebelum upacara agama.

"Pihak pengurusan rumah ibadat diminta untuk mengatur perkhidmatan khusus seperti menyediakan tempat duduk khas untuk golongan warga emas yang berumur 60 tahun ke atas dan pesakit berisiko tinggi.

Iklan

"Pihak pengurusan boleh menambah jarak antara tempat duduk sehingga dua meter dan galakkan penggunaan pelindung muka (face shield), di samping topeng muka (face mask) serta memastikan pengudaraan yang baik di dalam rumah ibadat,” jelas kenyataan itu pada Ahad.

Kenyataan turut menyebut, pihak pengurusan rumah ibadat digesa untuk menambah bilangan sesi upacara keagamaan masing-masing dengan jumlah kehadiran yang terhad pada satu-satu masa untuk mengurangkan risiko kebolehjangkitan virus Covid-19 sesama mereka.

Iklan

Katanya, penyediaan sesi-sesi tambahan dengan durasi yang dipendekkan dilihat mampu menjadi penyelesaian bagi membolehkan lebih ramai pengunjung mengambil bahagia secara langsung.

Selain itu, katanya, pihak pengurusan rumah ibadat perlu memanfaatkan tempat terbuka yang mempunyai pengudaraan yang baik di dalam kawasan rumah ibadat secara kreatif bagi menempatkan para pengunjung.

"Bagi kawasan rumah ibadat yang mempunyai sistem pengudaraan tertutup atau kurang baik, pihak pengurusan diingatkan untuk mengambil langkah tambahan kerana pertemuan dalam situasi ini adalah berisiko tinggi.

"Tambah baik sistem pengudaraan iaitu melakukan pengudaraan silang dengan membuka tingkap dan pintu yang ada. Bagaimanapun, golongan warga emas pula tidak digalakkan untuk berkunjung ke rumah ibadat yang mempunyai sistem pengudaraan yang tertutup seperti ini,” katanya.

Tambah kenyataan itu, pihak pengurusan rumah ibadat digesa untuk mengingatkan para pengunjung agar melakukan interaksi sosial di kawasan lain yang lebih selamat, terbuka, kurang sesak dan kurang padat, serta tidak berkumpul dalam kumpulan sebelum atau selepas upacara keagamaan dijalankan.