KUALA LUMPUR - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menghormati pendirian UMNO Sabah yang akan bersama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memandangkan situasi dan landskap politik di Sabah adalah istimewa.
"Ini kerana mereka berada dalam sebuah gabungan yang besar di sana iaitu GRS.
Iklan
Iklan
"Maka apa yang telah dinyatakan oleh Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai Ketua UMNO Sabah adalah sesuatu yang menjadi pendirian dan pegangan UMNO Sabah dan kita hormatinya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbarnya bersama kepimpinan parti di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, pada Ahad.
PAU 2020 memutuskan UMNO tidak akan bersama-sama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atau Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurut laporan media, Bung berkata, senario politik di Sabah berbeza dengan Semenanjung dan UMNO Sabah akan memastikan krisis politik yang berlaku di Semenanjung tidak berlaku di negeri ini.
Beliau berkata, walaupun di Semenanjung UMNO telah memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sehingga pilihan raya tetapi di Sabah mereka perlu membuat formula baharu untuk bersama dengan parti dalam GRS.