SHAH ALAM - Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar 1, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad akan akur dengan apa jua keputusan yang dibuat oleh parti itu.
Beliau juga menegaskan akan terus menggalas arahan parti sehingga menjelang pilihan raya.
"Dengan setia kita bersatu hati. Jiwa kita tetap pada perjuangan UMNO dan ia pasti akan terus berpadu. Tidak sesekali kepentingan peribadi melebihi kepentingan perjuangan mulia ini.
"Demi rakyat dan parti, saya akan terus menggalas arahan parti di batu jemala ini.
"Percayalah jika kuatnya UMNO pasti kuat kita, jika hebat UMNO pasti berjaya kita, maka yakin dengan mata hati kerana setiap tindakan sudah diperhalusi,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Ahad.
Tambah beliau, tiada siapa boleh mempertikai dan meragui pucuk pimpinan parti demi untuk memperkukuhkan parti, agama dan juga bangsa.
"Selagi hayat dikandung badan, UMNO kita kukuhkan, Melayu dan Bumiputera kita pertahankan, agama Islam dimuliakan, Malaysia kita makmurkan, maju UMNO, maju Melayu, maju Bumiputera.
"Semoga Pilihan Raya Umum (PRU)15 akan datang memberi sinar paling bahagia untuk parti keramat bernama UMNO ini, insyaALLAH,” katanya.
Pada Ahad, Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 meluluskan usul supaya Presiden parti dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) diberi mandat menentukan bila-bila masa untuk menarik diri daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Keputusan itu dicapai menerusi undian sebulat suara daripada perwakilan yang menghadiri perhimpunan terbesar parti itu.