BACHOK - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki maut selepas lemas manakala dua lagi remaja lelaki masih hilang di Pulau Kambing, Pantai Kandis di sini pada lewat petang Ahad.
Kejadian berlaku jam 6.53 petang mengorbankan Mohd Bahudin Mat Shah, 46, yang beralamat di Kuantan, Pahang.
Dua lagi mangsa dipercayai ahli keluarganya dicari pasukan mencari dan menyelamat (SAR).
Pemangku Ketua Polis Daerah Bachok, Asisten Superintendan Mohd Yusrizal Mohd Ghazali berkata, polis menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 7.15 malam.
"Identiti dua lagi remaja yang dikhuatiri lemas itu belum dikenal pasti.
"Operasi SAR giat dijalankan bagi mengesan dua mangsa yang terbabit,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Beliau berkata, SAR disertai polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pasukan Polis Marin (PPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
"Mayat dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu untuk bedah siasat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Roslan Ismail berkata, SAR disertai 20 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bachok, Tok Bali, Unit Scuba.
"Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) turut menyertai SAR,” katanya.