Gaji tidak padan dengan kos sara hidup

Iklan
Gambar hiasan. - Foto 123RF

DALAM mengharungi ketidaktentuan ekonomi pada waktu ini, rakyat juga dibelenggu kos sara hidup yang masih tinggi dan tidak selari dengan pasaran buruh yang tidak stabil sehingga menyebabkan ramai kehilangan punca pendapatan.

Walaupun kadar inflasi sedang berada pada tahap yang rendah, kos sara hidup dikatakan melangkaui harga semata-semata.

Iklan
Iklan

Menurut kajian Bank Dunia, isu-isu yang berkaitan dengan kos sara hidup termasuklah pertumbuhan pendapatan yang lambat, peningkatan hutang isi rumah dan juga harga rumah yang tinggi.

Berdasarkan statistik daripada Jabatan Perangkaan, pendapatan purata isi rumah di peringkat nasional meningkat pada kadar 4.3 peratus dalam tempoh antara tahun 2016 dan tahun 2019 manakala pendapatan boleh guna purata naik pada kadar 4.5 peratus dalam tempoh sama.

Iklan

Namun, persoalannya, adakah statistik ini mencerminkan realiti terutamanya selepas terjadinya pandemik yang tidak pernah terjadi sebelum ini?

Perbelanjaan penggunaan isi rumah bulanan purata juga meningkat pada kadar 4 peratus dalam tempoh 2016-2019.

Iklan

Namun, harga makanan terus meningkat jika dibandingkan dengan barangan yang lain dan memandangkan isi rumah B40 lebih cenderung untuk berbelanja untuk makanan, peningkatan harga makanan yang konsisten akan menyebabkan kumpulan isi rumah ini terkesan daripada kadar inflasi yang lebih tinggi.

Selain itu, hutang isi rumah berada pada tahap yang tinggi dan tahap kecelikan kewangan rakyat Malaysia juga tidak memuaskan, terutamanya di kalangan belia.

Dalam perbincangan mengenai kos sara hidup, status kemiskinan harus dipertimbangkan. Kemiskinan di Malaysia diukur dengan menggunakan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) yang bermaksud pendapatan yang diperlukan oleh sesebuah isi rumah bagi memenuhi keperluan minimum makanan dan bukan makanan.

Perubahan metodologi telah menyebabkan peningkatan dalam nilai PGK daripada RM908 pada tahun 2016 kepada RM2,208 pada tahun 2019. Kadar kemiskinan mutlak telah meningkat daripada 0.4 peratus pada tahun 2016 kepada 5.6 peratus pada tahun 2019.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, anggaran kerajaan setelah mengambil kira wabak Covid-19 menunjukkan bahawa kadar kemiskinan akan meningkat sebanyak 3 titik peratusan daripada kadar semasa iaitu 5.6 peratus.

Kos sara hidup, kuasa membeli dan PGK juga berlainan mengikut negeri. Sabah dan Labuan mempunyai nilai PGK yang lebih tinggi berbanding dengan negeri lain termasuklah negeri yang maju seperti Kuala Lumpur dan Selangor.

Jadi, ini menunjukkan bahawa kehidupan di luar bandar juga mahal, bukan hanya di negeri-negeri yang lebih membangun.

Jurang gaji tidak membantu dalam menyokong kos sara hidup yang semakin meningkat. Sebagai contoh, semasa perbincangan kumpulan fokus EMIR Research tahun lepas, seorang peserta dari Sabah memberitahu bahawa terdapat keperluan untuk menyeragamkan gaji di seluruh negara memandangkan kos sara hidup di Sabah sama tinggi seperti di negeri yang lebih membangun tetapi jurang gaji sangatlah besar!

Kenaikan gaji harus seiring dengan peningkatan kemahiran pekerja dan lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi harus diwujudkan melalui pelaburan bernilai tinggi.

Ketidakpadanan gaji pekerja dan kos sara hidup merupakan isu yang sudah lama dan semestinya tidak mempunyai satu sahaja jalan penyelesaian. Namun, kita harus mula berfikir secara mendalam tentang isu ini sebelum terlambat.

* Sofea Azahar ialah Penganalisis Penyelidik di EMIR Research