JITRA - Klinik Kesihatan di Kepala Batas, Jitra yang ditutup sejak dua tahun lalu kini menjadi sarang penagih dadah dan binatang liar termasuk anjing, biawak dan ular.
Seorang penduduk, Mohamad Jaafar, 64, dari Kampung Hilir berkata, kawasan itu ditumbuhi pokok liar yang membimbangkan penduduk di sekitarnya.
Menurutnya, klinik kesihatan itu ditutup pada 1 Mei 2019 difahamkan untuk tujuan naik taraf, namun sehingga kini tidak menampakkan sebarang perkembangan berhubung projek tersebut.
"Disebabkan penutupan klinik ini, penduduk di sekitar ini terpaksa mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Langgar, Alor Setar dan Klinik Kesihatan Banai, Jitra sejauh kira-kira lapan hingga 10 kilometer dari tempat tinggal mereka.
"Bagaimanapun, keadaan itu sudah lama dan kini menjadi sarang mat pit (penagih dadah) dan hidupan liar," katanya ketika ditemui media baru-baru ini.
Mohamad juga berharap Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dapat mempercepatkan pembinaan baharu kerana ramai pesakit yang mengalami masalah pengangkutan untuk ke Alor Setar mahupun Jitra.
"Pernah saya memaklumkan masalah ini kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) pada Januari dan mereka berjanji membersihkannya pada Februari, namun belum ada sebarang kerja pembersihan dilakukan,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Azman Che Ani, 55, dari Kampung Simpang Tiga Kepala Batas pula berkata, kawasan klinik tersebut turut diceroboh individu tidak bertanggungjawab dan mencuri peralatan yang diperbuat daripada besi.
Menurutnya, banyak rangka tingkap besi di klinik kesihatan tersebut termasuk pendingin hawa dicuri.
"Mereka mengambil wayar dan membakarnya di kawasan klinik untuk mengambil besi yang terdapat di dalam wayar tersebut. Pernah berlaku kebakaran di sini sehingga perlu mendapat bantun bomba," katanya.
Sementara itu, Penghulu Mukim Bukit Tinggi, Ahmad Tarmizi Abdul Aziz ketika ditemui media berkata, pihaknya sudah menerima aduan daripada penduduk kampung mengenai masalah tersebut.
Jelasnya, pejabatnya akan memaklumkan kepada pihak berkaitan secepat mungkin bagi mengatasi masalah itu.