MELAKA - Landskap Pulau Besar yang selama ini boleh dianggap membosankan bakal ceria dengan kehadiran bunga 'sakura' Malaysia atau tekoma yang akan ditanam oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) tidak lama lagi.
Datuk Bandar MBMB, Datuk Zainal Abu berkata, perancangan tersebut dirasakan sesuai dalam usaha membangunkan sektor pelancongan dan tidak mustahil pengindahan landskap itu mampu mengubah Pulau Besar menjadi seperti Pulau Jeju di Korea Selatan.
"Kita sedar pokok ini mempunyai tarikan yang tersendiri dan sebab itulah timbul cadangan untuk menanamnya di Pulau Besar. Kita mahu ubah landskap Pulau Besar itu yang dari dulu hingga sekarang, sama saja.
"Jadi selepas ini apabila tiba musim pokok tekoma berbunga, kita sudah ada satu tempat khusus atau ‘hot spot’ untuk pengunjung mengabadikan keindahan bunga dan suasana yang dikatakan seumpama di Korea Selatan atau Jepun itu,” katanya ketika dihubungi.
Sejak beberapa hari lepas, pokok dengan nama saintifiknya ‘Tecoma stans’ daripada keluarga Bignoniaceae yang berasal dari benua Amerika itu mula mengeluarkan bunga berwarna merah jambu dan putih seperti sakura, sekali gus mengindahkan lagi pemandangan di bandar raya ini.
Suasana serupa turut dapat dinikmati di beberapa kawasan di ibu negara serta di Alor Setar, Kedah sehingga menarik masyarakat setempat untuk mengabadikan memori di bawah pokok tersebut.
Jelas Zainal, pihaknya bercadang menanam lima hingga enam batang pokok di satu-satu tempat di beberapa kawasan terpilih di pulau itu dan perancangan akan dibuat bersama-sama pakar.
"Selain Pulau Besar, beberapa kawasan lain juga dikenal pasti untuk ditanami pokok tekoma seperti Bukit Serindit, Taman Bunga Merdeka, kawasan rekreasi serta sepanjang jalan raya yang dirasakan sesuai kerana MBMB tidak mahu berdepan masalah pembersihan selepas bunga itu gugur," katanya.
Bukan itu saja, menurut Zainal, pihaknya juga sedang meneliti beberapa jenis pokok lain yang boleh ditanam sebagai penyeri tambahan kepada pokok tekoma tersebut.
"Setakat ini, kita rasa pokok kelat paya atau Eugenia papilose berpotensi ditanam kerana mudah dibentuk, rimbun dan tinggi. Paling utama, pokok itu tidak merosakkan struktur longkang dan mudah dijaga,” jelasnya.
Menurut Zainal, keistimewaan pokok itu ialah daunnya mempunyai beberapa peringkat warna iaitu warna hijau tua (daun matang), hijau muda (daun muda) dan ungu kemerahan (pucuk daun). - Bernama