Pemangkin ekonomi luar bandar

Iklan
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri (dua dari kiri) diberikan penerangan mengenai produk garam bukit yang setanding dengan garam Himalaya di Kelalan Salt Spring, Ba’kelalan, Sarawak sewaktu melawat Homestay Apple Lodge baru-baru ini.

SHAH ALAM - Sektor pelancongan berupaya mentransformasikan kehidupan di samping mengekalkan identiti dan warisan komuniti dengan menjangkau keperluan semua pihak.

Kemampuan pelancongan desa menawarkan produk pelancongan berasaskan komuniti seperti inap desa serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melibatkan makanan, kraf tangan atau produk hiliran, secara tidak langsung memberikan pengalaman dan manfaat kepada pelancong serta komuniti setempat.

Iklan
Iklan

Sehubungan itu, pelancongan desa yang berpotensi perlu disuntik dengan pelaburan dan inovasi supaya ia dapat diterjemahkan bagi memacu pemulihan aktiviti sosioekonomi di kawasan luar bandar, khususnya membabitkan variasi segmen ekopelancongan, agropelancongan dan kembara.

Sektor pelancongan bukan sahaja dapat menawarkan peluang pekerjaan serta membantu menangani cabaran anjakan demografi di desa, malah menyumbang kepada penglibatan penduduk setempat serta pengagihan kekayaan di wilayah luar bandar secara saksama.

Iklan

Di Malaysia, Program Inap Desa atau Pengalaman Homestay Malaysia yang dilancarkan pada tahun 1995 telah mencatatkan sebanyak 221 kluster ‘homestay’ berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) di seluruh negara setakat Februari 2021.

Program homestay ini membabitkan penyertaan seramai 4,272 pengusaha di 371 buah kampung yang menawarkan sehingga 6,064 bilik penginapan.

Iklan

Berdasarkan statistik pada tahun 2020, program homestay ini telah berjaya menarik kunjungan 134,017 pelancong tempatan dan antarabangsa sekali gus menjana pendapatan sebanyak RM9.124 juta.

Negeri Pahang yang memiliki 16 kluster homestay, merekodkan pulangan tertinggi mencecah RM3.54 juta diikuti oleh Sabah sebanyak RM1.94 juta dan Sarawak RM1.26 juta.Secara asasnya, program homestay di bawah Pelan Induk Pelancongan Luar Bandar bertujuan meningkatkan penyertaan masyarakat luar bandar sebagai usahawan pelancongan, malahan ada yang dijayakan melalui pembangunan koperasi.

Selain homestay, MOTAC turut memperkenalkan program kampungstay sebagai suatu alternatif dan nilai tambah bagi memenuhi kehendak pelancong.

Relevan

Kini, peranan pelancongan desa semakin relevan khususnya sewaktu fasa pemulihan pandemik Covid-19 apabila para pelancong lebih terarah kepada destinasi yang jarang dikunjungi.

Malahan, usaha pemerkasaan pelancongan desa secara tidak langsung dapat meningkatkan sumbangan sektor pelancongan bagi merealisasi Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) serta Kod Etika Global untuk Pelancongan (GCET).

Umum mengetahui bahawa kawasan luar bandar sering kali dikaitkan dengan cabaran migrasi oleh generasi muda, paras pendapatan isi rumah yang rendah, jurang digital ketara serta kekurangan aktiviti janaan ekonomi serta kemudahan infrastruktur terhad.

Nancy (kanan) mencuba aktiviti memasak masakan tradisional ketika melawat Homestay Felda Mata Ayer, Perlis.

Namun, kesan pandemik Covid-19 ini telah mencetuskan minat dalam kalangan pelancong untuk meneroka pengalaman baharu di kawasan alam semula jadi dan luar bandar yang bersifat lebih terbuka, jauh daripada kesesakan orang ramai.

Berdasarkan Kaji Selidik Pelancongan Domestik pada 2020 oleh Tourism Malaysia melibatkan 13,797 responden, majoriti percaya krisis Covid-19 telah memberi kesan terhadap sikap mereka untuk melancong dengan rata-ratanya memilih destinasi pelancongan domestik berbanding luar negara.

Apatah lagi, majoriti responden amat bersetuju untuk mengelak daripada melancong di kawasan berkepadatan tinggi.

Dengan penutupan sempadan pintu negara melalui penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), aktiviti pelancongan domestik dapat terus dipertingkatkan melalui perencanaan kempen Cuti-Cuti Malaysia, tertakluk kepada perkembangan situasi terkini Covid-19.

Sehubungan itu, aktiviti pelancongan desa perlu diketengahkan kerana ia bukan sahaja pemangkin kepada penambahbaikan kemudahan infrastruktur asas bagi tempoh jangka masa panjang, bahkan mencakupi konteks kualiti taraf hidup penduduk dengan membawa kepada pengukuhan identiti warisan setempat serta pemeliharaan alam semula jadi.

Oleh itu, adalah penting untuk kita meletakkan pelancongan desa sebagai salah satu tonggak strategi dalam pelan pembangunan kawasan luar bandar.

Untuk maklumat lanjut mengenai program Pengalaman Homestay Malaysia di bawah kelolaan MOTAC yang merupakan peneraju kepada pembangunan ASEAN Homestay Standard, anda boleh melayari laman web http://www.motac.gov.my/program/pelancongan/homestay-kampungstay.