BENTONG - [DIKEMAS KINI] Empat maut selepas kereta Perodua Myvi yang dinaiki bertembung dengan sebuah lori treler di Kilometer (KM) 5, Jalan Bentong ke Raub, awal pagi Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, kesemua mangsa yang berasal dari Banting, Selangor iaitu Marlianna Abdul Muid, 37, dan adiknya, Marlia Abdul Muid, 36, meninggal dunia di tempat kejadian.
Anak kepada Marlia, Muhammad Faizz Aryan Mohd Faizuddin, 9, dan anak saudaranya, Muhammad Aisy Harraz Aziz, 7, meninggal dunia di wad kecemasan Hospital Bentong ketika menerima rawatan.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, hasil siasatan mendapati kereta yang dipandu oleh Marlianna dari arah Kota Bharu menuju ke Banting, Selangor telah masuk ke laluan bertentangan untuk memotong sebuah kenderaan lain.
Menurutnya, cubaan memotong itu gagal lalu bertembung dengan sebuah lori treler yang datang dari arah bertentangan.
"Akibat kemalangan tersebut, dua mangsa iaitu pemandu kereta dan penumpang iaitu adik pemandu telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Dua lagi penumpang iaitu anak kepada Marlia dan anak saudaranya telah meninggal dunia di Hospital Bentong semasa menerima rawatan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Ujarnya, siasatan lanjut sedang dijalankan dan pihak polis meminta saksi-saksi yang melihat kejadian tersebut untuk tampil bagi membantu siasatan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.