GEORGETOWN - Kira-kira 97.5 peratus daripada lebih 40,000 penerima vaksin dalam fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di Pulau Pinang sudah menerima suntikan mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan Negeri, Norlela Ariffin berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) kini sudah bersiap sedia untuk melaksanakan fasa kedua mulai April ini, yang membabitkan warga emas dan pesakit kronik.
Iklan
Iklan
Beliau berkata, kerajaan negeri juga telah berjaya memperoleh tambahan lebih 2,000 dos vaksin Covid-19 untuk diberikan kepada guru-guru dan 9,000 dos untuk petugas barisan hadapan membabitkan anggota PBT negeri dalam fasa pertama pemberian vaksin.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti itu berkata demikian semasa menjawab satu soalan pada sesi libat urus antara Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) bersama ADUN yang berlangsung selama dua hari mulai Isnin di sini.
Sesi libat urus itu bertujuan membolehkan setiap Exco mengemas kini perkembangan dan pelaksanaan dasar serta projek di bawah portfolio masing-masing berikutan penggantungan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sepatutnya berlangsung pada April ini susulan pengisytiharan proklamasi darurat yang diumumkan kerajaan Persekutuan.
Sementara itu Norlela berkata, Kolej Vokasional Butterworth dekat sini diarah ditutup Sabtu lalu selepas 36 pelajar serta petugasnya direkodkan positif Covid-19 yang dikaitkan dengan Kluster Jalan Teluk Air Tawar, manakala sebuah sekolah rendah di Bukit Tambun pula merekodkan 16 kes positif Covid-19 yang dikaitkan dengan Kluster Bukit Tambun pada 21 Mac lepas.
"Bagi Kluster Bukit Tambun, JKNPP telah mengambil tindakan segera dengan membuat isolasi di situ. Terdapat lebih 1,000 murid di sekolah itu, namun berdasarkan maklumat hanya sebuah kelas sahaja melibatkan kes Covid-19," katanya. - Bernama