Wanita hina polis didenda RM5,000

Iklan
Naran (kiri) bercakap sesuatu dengan Nurshahira (kanan) dan Mohd Mizuar (tengah) sebelum memasuki Mahkamah Tinggi Alor Setar untuk mendengar keputusan rayuan pada Isnin.

ALOR SETAR - Mahkamah tinggi Alor Setar pada Isnin mendenda seorang wanita sebanyak RM5,000 kerana menghina polis dengan perkataan jelik pada Mac tahun lalu.

Tertuduh, Nursahira Mohd Mizuar, 20, bakal berdepan penjara selama dua bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, difahamkan, keluarganya sudah membayar denda tersebut.

Hukuman itu diputuskan oleh Hakim Datuk Ghazali Cha selepas mempertimbangkan semua perkara berhubung rayuan difailkan bagi meringankan hukuman yang dijatuhkan terhadap tertuduh.

Iklan

Tertuduh yang semasa kejadian bekerja sebagai pembantu kedai dihukum penjara tiga bulan dan denda RM10,000 atau dua bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen Alor Setar pada 31 Mac 2020 selepas mengaku bersalah.

Ghazali sebelum memutuskan hukuman itu berkata, beliau berpuas hati dengan laporan akhlak Nurshahira yang dikemukakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Pendang.

Iklan

Peguambela Nurshahira, Datuk Naran Singh pula dalam hujah rayuannya berkata, tempoh penjara 10 hari yang dilalui wanita tersebut sebelum ini dilihat memandai dan berharap hukuman dapat diringankan kerana tertuduh sudah insaf.

Menurutnya, laporan akhlak oleh JKM juga membuktikan tertuduh sebagai anak sulung menunjukkan tanggungjawabnya dengan bekerja di sebuah kilang dan berjanji tidak akan mengulangi lagi perbuatan tersebut.

Sementara itu Timbalan Pendakwaraya, Aqharie Durranie Aziz memohon kepada mahkamah agar hukuman setimpal dapat dikenakan terhadap tertuduh agar menjadi pengajaran kepada orang awam kerana menghina polis adalah satu kesalahan yang serius.

Pada 31 Mac 2020, Sinar Harian melaporkan Nursahira dijatuhkan hukuman tiga bulan penjara dan denda RM10,000 atau penjara dua bulan pada 31 Mac kerana menghina polis di media sosial namun disebabkan gagal membayar denda, dia dikenakan tambahan penjara dua bulan.

Mengikut kertas pertuduhan, Nursahira menggunakan laman Facebook profil, Sahira Eyraa secara sedar telah membuat penghantaran komunikasi jelik pada 27 Mac 2020 kira-kira jam 8.30 malam sehingga 10.12 malam.

Kes tersebut didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.