Enam pekerja kilang didakwa guna MC palsu

Iklan
Enam pekerja sebuah kilang ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam pada Isnin.

BUKIT MERTAJAM - Enam pekerja sebuah kilang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini pada Isnin atas pertuduhan menggunakan sijil cuti sakit (MC) palsu.

Tertuduh membabitkan tiga pekerja lelaki mengaku bersalah, bagaimanapun tiga lagi yang merupakan pekerja wanita membuat pengakuan tidak bersalah atas pertuduhan itu di dua mahkamah berbeza.

Iklan
Iklan

Keenam-enam mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Syarikat EMS M Engineering Medical System Sdn Bhd di Bukit Minyak, Seberang Perai Tengah pada jam 9 pagi antara 27 Oktober 2020 dan 27 Februari 2021.

Tertuduh, Mohamad Hafizi Zainuddin, 28, dan Muhammad Amir Md Ishak, 19, membuat pengakuan bersalah itu di Mahkamah Majistret 1, sementara Nurul Izzah Abdul Razak, 20, pula mengaku tidak bersalah di mahkamah sama.

Iklan

Mohamad Hafizi didakwa melakukan kesalahan itu pada 27 Oktober 2020, manakala Muhammad Amir pada 22 Februari 2021.

Majistret Mohd Zaki Abdul Rahman kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM2,700 serta penjara lima hari dari tarikh tangkapan iaitu pada 23 Mac lalu terhadap kedua-dua tertuduh.

Iklan

Kedua-dua tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Abdul Nasir Wahid.

Nurul Izzah yang diwakili peguam Muhammad Zayumi Mohd Yusof pula dibenarkan dengan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Dia didakwa melakukan kesalahan sama pada 27 Februari 2021.

Kesemua tertuduh masing-masing mempunyai satu pertuduhan dan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, N Kalaivaanan.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret 2 pula, seorang lagi tertuduh, Muhamad Zulhakimi Masdi, 22, dijatuhi hukuman denda RM3,500 dan penjara lima hari dari tarikh sabitan selepas mengaku bersalah atas kesalahan berkenaan.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu pada 28 Disember 2020.

Di mahkamah sama, Nur Farah Amirah Alisham, 20, dan Marsya Fatini Mohd Rani,19, mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Sri Pracha Nanthini Balabedha.

Nur Farah didakwa melakukan kesalahan tersebut pada 25 Januari 2021, manakala Marsya Fatini yang mempunyai dua pertuduhan didakwa melakukan kesalahan sama pada 5 dan 27 Februari 2021.

Mahkamah sehubungan itu membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin.

Muhamad Zulhakimi, Nur Farah dan Marsya Fatini masing-masing diwakili peguam Nur Najihah Ahmad Zulkarnain, Muhammad Zayumi dan Chiang Kian Hong.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Nazri Abdul Rahim.

Mengikut pertuduhan, keenam-enam mereka dituduh dengan curangnya menggunakan satu dokumen iaitu sijil cuti sakit yang mana dokumen tersebut adalah palsu.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 465 Kanun Keseksaan iaitu memperuntukan hukuman penjara dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kes ditangguhkan sehingga 3 Mei untuk sebutan semula.