MELAKA - Melaka akan melaksanakan gelembung perjalanan (travel bubble) menerusi kerjasama pelancongan dengan Terengganu dalam Pakej Pelancongan Garam Di laut, Asam Di darat.
Exco Pelancongan Warisan dan Kebudayaan, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, selain itu ada beberapa negeri lain yang bakal merancakkan sektor pelancongan domestik dua hala itu.
Menurutnya, program itu akan digerakkan menggunakan perkhidmatan ejen kembara pelancongan dan premis penginapan pelancong yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).
"Kita melihat kedua-dua negeri mempunyai kelebihan dan keistimewaan dalam sektor pelancongan. Terengganu popular dengan keunikan pulau manakala Melaka terkenal dengan tempat bersejarah.
"Kita akan membawa cadangan pakej tersebut kepada kerajaan negeri Terengganu untuk direalisasikan," katanya ketika sidang akhbar di Kota Cemerlang, Ayer Keroh di sini, pada Isnin.
Muhammad Jailani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia berkata, pakej pelancongan itu akan diberikan perhatian dan nafas baharu bagi memastikan sektor pelancongan kembali aktif dengan menyasarkan negeri yang masih di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
"Kita berharap industri pelancongan di Melaka kembali aktif supaya mereka yang terlibat dapat memanfaatkan insiatif ini," katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Melaka sedia menerima pengunjung di Menara Taming Sari, Banda Hilir selepas ditutup lebih tujuh bulan bagi kerja-kerja baik pulih dan penyelenggaraan.
"Sebelum Ramadan menara ini dijangka kembali beroperasi dan akan mendapat sambutan," katanya.