KUALA LUMPUR - Lebih RM19 juta bayaran saman dikutip menerusi aplikasi MyBayar Saman dalam tempoh empat hari sejak ia dilancarkan pada Khamis.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, jumlah itu membabitkan sebanyak 177,511 saman yang dijelaskan.
"Sebanyak 37,213 saman dijelaskan membabitkan bayaran berjumlah RM4.3 juta pada Khamis.
"Pada Jumaat pula, sebanyak 43,469 saman dijelaskan dengan bayaran RM4.7 juta," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Azisman berkata, jumlah itu terus meningkat pada hari ketiga iaitu sebanyak 66,893 saman dijelaskan membabitkan bayaran berjumlah RM7.2 juta.
"Bagaimanapun, jumlah itu sedikit menurun pada Ahad dengan 29,936 saman dijelaskan membabitkan bayaran saman berjumlah RM3.2 juta,” katanya.
Beliau berkata, seramai 366,728 pengguna sudah berdaftar dengan aplikasi tersebut.
"Sejak aplikasi itu dilancarkan, ia mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada orang ramai.
"Saya berharap orang ramai akan mengambil kesempatan membuat pembayaran saman melalui aplikasi ini yang turut memberikan diskaun saman sehingga 50 peratus,” katanya.
Pada Khamis, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador merasmikan pelancaran portal dan aplikasi MyBayar Saman bagi memudahkan orang ramai membuat pembayaran saman secara dalam talian.
Menurut Abdul Hamid, JSPT turut menawarkan diskaun sehingga 50 peratus sempena Sambutan Hari Polis ke-214 bagi pembayaran yang dibuat menerusi aplikasi berkenaan selama 18 hari bermula 25 Mac hingga 14 April ini.