PENGENDALI Itali, Roberto Mancini memberi amaran kepada pemain Gli Azzurri bahawa tiada lawan yang mudah selepas mengatasi Bulgaria 2-0 dalam aksi Kumpulan C Kelayakan Piala Dunia 2022 di Stadium Nasional Vasil Levski, Sofia.
Menurut Mancini, skuad kendalian Yasen Petrov ternyata memberikan barisan pemain pelawat persaingan yang cukup sengit untuk perlawanan pertama anak buahnya di luar Itali.
"Itali belum pernah memenangi perlawanan di Bulgaria sebelum ini, namun harus diingat bahawa kemenangan ini bukan datang dengan mudah tanpa komitmen dalam kalangan pemain.
"Pada saya semua perlawanan cukup mencabar kerana tiada lawan yang mudah seperti menentang Bulgaria yang sering mengharapkan kepada serang balas dalam mencari gol.
"Pemain-pemain Itali pula yang baharu sahaja menamatkan saingan liga berada dalam keadaan keletihan, namun berjaya memberikan corak permainan yang berkualiti seperti diharapkan pasukan.
"Biarpun begitu pada babak pertama pemain-pemain berjaya mengekang asakan pemain Bulgaria, namun gagal menemui penyudah yang baik kecuali pada babak kedua selepas menyempurnakan deretan peluang,” katanya.
Biarpun The Azzurri gagal menyerlah di Sofia, namun Mancini cukup gembira dengan jaringan penalti Andrea Belotti dan Manuel Locatelli yang memberikan tiga mata pertama di luar Itali pada aksi kelayakan ini.
Kemenangan kedua itu selepas mengatasi Ireland Utara 2-0 pada aksi pertama di Stadium Ennio Tardini, Parma pada 26 Mac lalu membolehkan Itali kekal memimpin Kumpulan C dengan enam mata.