PKP di Kelantan jika rakyat degil

Iklan
Dr Izani Husin

KOTA BHARU - Kelantan mungkin dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) jika rakyat terus bersikap degil sehingga menyebabkan kes Covid-19 di negeri ini meningkat.

Exco Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, kebimbangan itu ada asasnya apabila kebolehjangkitan (RT) Covid-19 di Kelantan yang tertinggi di Malaysia ketika ini.

Iklan
Iklan

"Jika RT ini tidak turun, kita boleh jangka kes (Covid-19) akan naik dengan mencanak.

"Bila kes naik, Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak akan teragak-agak mengenakan PKP di negeri ini," katanya ketika ditemui selepas hadir ke Mesyuarat Khas Jawatankuasa Keselamatan Negeri (JKKN) Kelantan di Kota Darulnaim di sini pada Isnin.

Iklan

Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Justeru, kerajaan merayu kepada rakyat di negeri ini supaya terus patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Iklan

Beliau berkata, pematuhan SOP secara kendiri amat diperlukan dalam memutuskan rantaian Covid-19.

Dr Izani berkata, jika PKP kembali dikuatkuasakan di negeri ini semua pihak termasuklah kerajaan akan menerima kesan tersebut.

"Jadi marilah kita patuhi SOP dan setiap kerja yang dilakukan (patuh SOP) ini akan mendapat ganjaran dari ALLAH SWT kerana ia menjadi salah satu usaha kita melawan Covid-19," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijang itu mendedahkan tahap kesedaran untuk mendaftar suntikan vaksin Covid-19 dalam kalangan rakyat negeri ini juga masih lagi rendah.

Katanya, sehingga kini hanya 200,000 penduduk daripada 1.2 juta yang sudah berbuat demikian.

"Kita akan terus lipat gandakan usaha pendaftaran ini dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan matlamat itu tercapai.

"Pendaftaran ini penting buat kerajaan, jadi berilah kerjasama dan ia adalah perkara wajib," katanya.