IPOH - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memberi tumpuan kepada negeri-negeri yang merekodkan daftar imunisasi rendah sebagai usaha meningkatkan vaksinasi dalam kalangan rakyat.
Timbalan Menteri, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, langkah itu termasuklah membantu mengenal pasti faktor-faktor sebenar yang menjadi punca kepada daftar imunisasi rendah.
"Kita sudah bercakap dengan pengarah (kesihatan) negeri-negeri supaya beri penumpuan kepada daftar yang rendah itu.
"Kita nak tahu kenapa, adakah kerana ada gerakan antivaksin atau mereka sebenarnya takut dan tidak faham kerana tidak mendapat maklumat yang sebenar.
"Semua itu akan kita beri tumpuan untuk kita ambil tindakan selanjutnya dan seterusnya membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi dalam isu pendaftaran ini," katanya pada sidang akhbar sempena program Malaysia Prihatin di Dewan Serbaguna Menara Tabung Haji, di sini pada Isnin.
Menurutnya, ketika ini Pejabat Kesihatan negeri telah membuka kaunter pendaftaran di semua fasiliti dan klinik kesihatan di daerah-daerah bagi membantu daftar orang ramai.
"Ini antara usaha yang kita gerakkan kerana kita bimbang juga kalau mereka yang di pedalaman tidak mendapat berita yang benar menyebabkan mereka sendiri tidak faham apa tujuan vaksinasi ini.
"Jadi tanggungjawab kita untuk beri kefahaman dan menentukan bahawa mereka mendaftar," katanya.
Laporan media sebelum ini menyebut jumlah individu yang berdaftar sebagai penerima vaksin Covid-19 menerusi aplikasi MySejahtera semakin perlahan dengan ketara.
Berdasarkan data dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di Facebook minggu lalu, negeri yang merekodkan peratusan daftar imunisasi rendah adalah Sabah iaitu 9.4 peratus dan Kelantan 13.1 peratus diikuti Terengganu (18.1 peratus), Pahang (19.2 peratus) dan Kedah (19.4 peratus).
Berdasarkan keadaan semasa itu, ditanya kemungkinan kerajaan akan mewajibkan semua rakyat mendapat suntikan vaksinasi Covid-19, Noor Azmi berkata, buat masa ini belum ada usaha ke arah itu.
"Setakat ini undang-undang kita tidak mewajibkan vaksinasi. Kalau lihat program imunisasi yang kita gerakkan pun, ia bukan mewajibkan, tetapi kita sarankan ambil," katanya.