GEORGE TOWN - Kerajaan negeri Pulau Pinang menafikan menarik balik peruntukan RM60,000 untuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di negeri itu seperti yang didakwa oleh empat ADUN dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow sebaliknya berkata, peruntukan RM60,000 bagi kawasan empat ADUN berkenaan disalurkan menerusi ADUN angkat di situ supaya rakyat boleh menikmatinya.
"Alasan boikot yang diberikan mereka adalah kerana peruntukan mereka ditarik balik oleh kerajaan negeri, namun sebenarnya peruntukan tersebut tidak dikurangkan satu sen pun dan ia disalurkan kepada rakyat melalui ADUN angkat.
"Manakala tiga lagi ADUN pembangkang (dua dari UMNO dan satu PAS) menerima terus peruntukan tersebut kerana mereka memang bertanding atas kerusi parti tersebut manakala empat ADUN Bersatu itu menang kerana pengundi memilih calon Pakatan Harapan pada pilihan raya lepas dan mencapai kemenangan untuk membentuk kerajaan negeri Pulau Pinang," katanya dalam sidang akhbar pada sesi libat urus pada Isnin.
Terdahulu, empat ADUN Bersatu Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya), Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh), Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Teluk Bahang) bertindak memboikot sesi libat urus melibatkan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan semua barisan ADUN yang bermula Isnin.
Dalam kenyataan bersama, empat ADUN berkenaan memaklumkan bahawa tindakan memboikot itu dilakukan berikutan dakwaan pimpinan kerajaan Pulau Pinang bertindak berat sebelah kerana telah menarik balik peruntukan yang diluluskan pada 20 Januari lepas kepada ADUN pembangkang berjumlah RM60,000, menerusi surat dikeluarkan pada 19 Februari lepas.
Dalam pada itu, Chow yang juga ADUN Padang Kota berharap empat ADUN tersebut dapat hadir ke sesi libat urus itu kerana ia diadakan bagi memastikan prinsip semak dan imbang dapat dilaksanakan dalam tampuk pentadbiran sedia ada berikutan penggantungan DUN.
"Kalau mereka tidak datang sesi pagi tadi, mungkin boleh datang sebelah petang atau esok supaya dapat memastikan prinsip semak dan imbang dapat kita jalankan," katanya.
Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi DUN dan ketika ini komposisi kerusi DUN dipimpin Pakatan Harapan (PH) dengan DAP memegang 19 kerusi, PKR (12), Amanah (dua), manakala Perikatan Nasional menerusi Bersatu mempunyai empat kerusi, PAS (satu) dan UMNO (dua) kerusi. - Bernama