Kalau tak boleh sayang budak, jangan jadi cikgu!

Iklan
Video tular guru tadika campak kanak-kanak di sebuah tadika.

DALAM pada kita kecoh dengan pelbagai jenis rakaman aksi lucu untuk aplikasi Tik Tok guru-guru dalam kelas, tiba-tiba tular sebuah video yang ‘menaikkan darah’ netizen.

Ia menunjukkan seorang guru tadika di salah sebuah sekolah di Jalan Kebun, Shah Alam ‘mencampak’ anak didiknya sebanyak dua kali (atau mungkin lebih, di belakang kamera siapa tahu?) ke lantai.

Iklan
Iklan

Turut terlihat adalah reaksi terkejut anak-anak lain di dalam kelas berkenaan, yang mungkin dalam hati mereka terdetik, ‘takutnyaaa!!’.

Rakaman video berdurasi 10 saat itu sangat merentap emosi rakyat Malaysia, malah ramai menitiskan air mata memikirkan nasib anak dicampak, tidak kurang melampias rasa panas hati dan mengutuk perbuatan keji tersebut di ruangan komen setiap portal yang menyiarkan berita berkenaan.

Iklan

Setakat catatan ini ditulis, guru tadika berstatus tetap itu telah dibebaskan dengan jaminan polis Jumaat lalu selepas disiasat mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001.

Difahamkan, guru terbabit juga telah diberhentikan serta-merta daripada perkhidmatannya.

Iklan

Apa agaknya yang terkandung dalam Akta Kanak-Kanak 2001? Dalam Bab 3 Seksyen 31 (1) menyebut kesalahan berhubung dengan kesihatan dan kebajikan kerana membiarkan kanak-kanak iaitu menganiaya, mengabaikan, dan membuang mereka dengan cara yang mungkin akan menyebabkan kecederaan fizikal atau emosi.

Apa natijahnya jika disabitkan kesalahan? Pelaku boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan tidak lebih 10 tahun, atau kedua-duanya.

Susulan insiden menyayat hati itu, memang ramai sangat meronta-ronta dalam hati nak tahu: Wahai cikgu, apa agaknya yang cikgu fikirkan? Adakah emosi cikgu terganggu? Banyak kerja? Ada masalah di rumah? Gaduh dengan suami? Masalah kewangan?

Apapun yang sedang cikgu hadapi, tolong.... jangan campak anak orang! Dan itu bukan anak cikgu!

Pentingnya ajaran agama

Memang betul, tak dapat dinafikan jaga anak-anak kecil bukannya mudah jika tidak ditanam sifat kesabaran tertinggi dalam diri.

Maka penting untuk setiap golongan pendidik kembali muhasabah dan menerapkan ajaran agama juga mengambil contoh ditunjuk Rasulullah SAW dalam melayan karenah anak-anak kecil.

Dalam sebuah hadis Riwayat Bukhari dan Muslim, satu hari baginda mencium cucunya, Alhasan bin Ali dan perbuatan itu dilihat salah seorang sahabat bernama al-Aqra bin Habis at-Tamimi.

Al Aqra berkata,"Sesungguhnya aku memiliki sepuluh orang anak, namun aku tidak pernah mencium mereka sekali pun.”

Rasulullah SAW lantas memandangnya dan bersabda,"Barangsiapa tidak mengasihi, maka ia tidak akan dikasihi.”

Dalam konteks ini, anak yang selalu dikasari akan hilang sifat kasih sayang sehingga terbentuk rasa benci dan memberontak kepada guru dan ibu bapa sendiri. Siapa yang rugi di kemudian hari?

Kepada institusi pendidikan prasekolah terutamanya, wajar mengambil berat contoh kes ini untuk memantau golongan guru yang telah diberi amanah untuk mendidik anak-anak kecil.

Siapa tahu, disebabkan sering melakukan perbuatan yang sama, akhirnya guru ini ditakdirkan ‘kantoi’ di hadapan kamera. Entah berapa ramai anak-anak malang yang telah menempuh nasib serupa namun tidak terakam dan tidak dapat dibuktikan.

Mungkinkah juga ada di antara anak-anak malang ini diugut tidak melaporkan kepada ibu bapa? Wallahuaklam.

Yang pasti, guru garang tak bertempat bukan berlaku di Jalan Kebun sahaja, malah mungkin di sekolah-sekolah lain juga.

Akhir sekali untuk anda yang sedar kekurangan diri tidak suka kepada kanak-kanak kecil, mudah hilang sabar, panas baran, tiada sifat kasih sayang dalam diri, tolonglah... jangan pilih kerjaya mulia ini.

Mungkin elok anda intai tugas-tugas menjaga keselamatan yang memerlukan personaliti tegas, garang dan berani bertindak secara fizikal sekiranya diserang.

Bukan pergi campak anak kecil yang tidak berdaya. Tak malu ke?

* Zaila Mohamed Ali ialah Penerbit Program Wacana Sinar Harian