KUANTAN - Kerajaan Pahang sedang meneliti cadangan menaik taraf status daerah Pekan dan Cameron Highlands sebagai majlis perbandaran.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Abd Rahim Muda berkata, penilaian cadangan itu sedang dibuat dan berharap dapat memenuhi kriteria ditetapkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi tujuan tersebut.
"Kita ada perancangan menaik taraf pihak berkuasa tempatan (PBT) di Pekan serta Cameron Highlands kepada Majlis Perbandaran Pekan dan Majlis Perbandaran Cameron Highlands.
"Kita sedang meneliti syarat dan kriterianya kerana dua daerah ini berkembang maju," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Beliau berkata, selain itu, kerajaan Pahang juga melihat kepada kemungkinan lain seperti naik taraf status Bentong dan Temerloh sebagai bandar raya.
"Buat masa ini, kita lihat daerah Bentong paling berpotensi dijadikan bandar raya dalam masa beberapa tahun akan datang," katanya.
Ditanya mengenai dakwaan kenaikan cukai taksiran selepas Kuantan menerima status bandar raya, beliau berkata, perkara itu tidak ada dalam perancangan kerajaan negeri buat masa ini.
Beliau memberi jaminan tidak akan berlaku kenaikan cukai taksiran dalam masa terdekat.
"Walaupun kerajaan negeri boleh menaikkan cukai (taksiran) tanpa menunggu status bandar raya, tapi itu bukanlah hasrat utama kerajaan Pahang.
"Kita lebih mementingkan agenda menjaga kesejahteraan rakyat berbanding mengutip cukai," katanya.