KOTA BHARU - Polis Kelantan memerlukan penambahan anggota di bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) bagi membantu mengawal empat daerah utama di negeri ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, penambahan tersebut untuk memenuhi keperluan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand iaitu Tanah Merah, Pasir Mas, Tumpat dan Jeli.
"Memang diakui kita memerlukan penambahan di empat daerah di kawasan sempadan ini bagi mengekang berlakunya kes-kes yang berkaitan.
"Sekarang ini, kita ada 20 hingga 30 orang di setiap kawasan dan untuk kontinjen pula seramai 70 orang. Apa yang penting, kita mahu fokuskan kepada kawasan sempadan ini.
"Buat masa sekarang, jika kita ada kes besar dan memerlukan bantuan, kita akan minta dari JSJN dari Bukit Aman, mereka mempunyai elemen yang cukup untuk bantu kami di negeri," katanya.
Beliau berkata demikian pada program bersama komuniti di Nilam Puri sempena sambutan Peringatan Hari Polis ke- 214 di Balai Polis Nilam Puri di sini pada Selasa.
Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Mohd Suhaimi Ali dan Ketua Balai Nilam Puri, Wan Fauzi Wan Seman.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador memaklumkan pihaknya memerlukan 2,500 anggota baharu untuk diisi dengan segera bagi memperkasa operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN).
Menurutnya, JSJN sebelum ini memohon sejumlah 15,000 perjawatan bagi pasukan itu, bagaimanapun jumlah itu agak besar.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, mengulas mengenai pembaharuan yang dilakukan di Balai Polis Nilam Puri, Shafien berkata, langkah tersebut amatlah membanggakan kerana ia melibatkan komuniti setempat iaitu orang kampung.
"Saya difahamkan mereka ambil masa 26 hari untuk mengindahkan balai ini. Ia perlu dicontohi balai-balai lain selain mengeratkan hubungan silaturahim anggota dengan masyarakat," katanya.