JOHOR BAHRU- Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diingatkan agar tidak hipokrit dalam membicarakan isu penyatuan ummah jika parti itu sendiri gagal menanganinya.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, Bersatu patut rasa malu untuk bercakap soal penyatuan ummah kerana dalam tempoh singkat, parti itu sudah melahirkan dua parti serpihan iaitu Pejuang dan Muda.
Beliau turut mempersoalkan, adakah penyatuan ummah hanya terlaksana jika Bersatu menjadi 'bos' penyatuan ummah dalam Perikatan Nasional (PN).
"Bersatu sudah diberi peluang. Dengan tujuh MP (ahli Parlimen), Bersatu adalah bos dalam PN.
"Tetapi apabila Bersatu mewujudkan 'kluster katak' untuk membanyakkan jumlah ahli Parlimennya melalui tawar menawar, pujukan, ugutan dan jawatan, adakah itu baik untuk penyatuan ummah?" soalnya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam Facebooknya sebagai respons kepada kenyataan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang mendakwa perpecahan PN akan menguntungkan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) apabila undi Melayu berpecah.
Mohd Puad yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat berkata, taktik mengajak ahli Parlimen 'lompat' parti sehingga parti lain berpecah adalah tikam belakang yang tidak jujur untuk penyatuan ummah.
"Kalau Bersatu nak bertanding 222 kerusi, bertandinglah. UMNO tidak setamak itu. UMNO hanya menuntut 16 kerusi lompat.
"Justeru, Bersatu patut malu kerana mengutip ahli Parlimen 'rentas parti'. Tidak bermaruah," katanya.