Peguam kesal surat bertemu Ayob Khan tular

Iklan
Muhammad Hariz menunjukkan beberapa dokumen kepada pemberita di pekarangan Istana Kehakiman di Putrajaya pada Selasa.

PUTRAJAYA- Seorang peguam menyatakan kekesalan apabila surat rasmi untuk mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay tular di media sosial.

Muhammad Hariz Md Yusof berkata, pihaknya telah menghantar surat kepada Ayob Khan pada 24 Disember lalu bagi membuat aduan berhubung integriti anggota polis terhadap kes pencerobohan dilakukan sekumpulan individu di premis anak guamnya.

Iklan
Iklan

"Isi kandungan surat tersebut telah tular di media sosial pada 20 Januari," katanya kepada pemberita di pekarangan Istana Kehakiman, di sini pada Selasa.

Dakwanya, keputusan penolakan untuk permohonan pertemuan itu turut diketahui umum.

Iklan

"Bagaimana surat rasmi peguam boleh bocor ke tangan awam?" soalnya.

Beliau berkata, susulan itu, satu laporan polis telah dibuat pihaknya di Ibu Pejabat Polis Johor Bahru Utara pada 19 Mac lalu dan keterangan telah diambil.

Iklan

"Bagaimanapun saya dimaklumkan oleh anak guam bahawa kes tersebut perlu dirujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)," katanya.

Muhammad Hariz berkata, pihaknya bercadang untuk membuat aduan rasmi kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berhubung perkara itu.

"Selain itu saya telah diarahkan oleh anak guam untuk memfailkan tindakan mahkamah terhadap polis," katanya.

Pada 22 Jun lalu, anak guam Muhammad Hariz, Saleha Yahya membuat laporan polis selepas terdapat sekumpulan individu menceroboh restorannya yang terletak di Bukit Gambir, Tangkak, Johor.

Namun dakwanya, tiada perkembangan selepas sembilan bulan laporan polis dibuat.