MARANG - Kerajaan negeri Terengganu menggerakkan seramai 300 sukarelawan dari rumah ke rumah bagi membantu orang ramai khususnya warga emas mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Terengganu, Dr Alias Razak berkata, sukarelawan pendaftaran vaksin Covid-19 itu dilancarkan secara rasmi pada Isnin mula bergerak hari ini.
Menurutnya, kumpulan terdiri daripada gabungan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) berkenaan merupakan inisiatif kerajaan bagi meningkatkan kadar pendaftaran vaksin Covid-19 di negeri ini yang masih rendah.
"Warga emas dan mereka yang mempunyai penyakit tidak aktif di luar, mereka hanya tinggal di rumah serta kurang mendapat maklumat. Jadi sukarelawan daftar vaksin Covid-19 ini akan ke rumah-rumah dan bantu mereka daftar secara terus melalui online.
"Jadi kita harap orang ramai dapat beri kerjasama jika sukarelawan ini datang ke rumah. Jika ragu-ragu boleh minta mereka tunjukkan kad pengesahan sukarelawan kerana setiap mereka diberi kad itu," katanya selepas hadir ke Majlis Pecah Tanah Projek Rumah Mampu Milik (RMM) Bukit Gasing II di sini pada Selasa.
Majlis itu disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Sebelum ini Terengganu dilaporkan antara negeri yang merekodkan jumlah pendaftaran penerima vaksin Covid-19 terendah di negara dengan 193,911 orang sehingga 27 Mac lalu.
Dr Alias berkata, selain mengunjungi rumah ke rumah pihaknya turut membuka kaunter pendaftaran di lokasi tumpuan ramai seperti pasar awam, pasar raya, pasar malam dan pasar pagi bagi memberi penerangan serta membantu masyarakat mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19.
Usaha itu katanya, dijangka meningkatkan jumlah pendaftaran vaksin sehingga 60 peratus sekali gus menjayakan program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bagi memutuskan rantaian Covid-19.
"Sebelum ini, agensi seperti Pejabat Daerah dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) juga sudah membantu memberi penerangan mengenai vaksin dan dua strategi baharu ini diharap dapat meningkatkan jumlah pendaftaran vaksin Covid-19 di negeri ini," katanya.