Bot terbalik: Satu mayat ditemukan, seorang lagi masih hilang

Iklan
Mayat dibawa ke Jeti Pengkalan Pasukan Polis Marin Kuala Kurau, Parit Buntar pada Selasa dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

PARIT BUNTAR - Seorang daripada dua nelayan yang dilaporkan hilang selepas terjatuh dari bot akibat cuaca buruk di Perairan Kerian sejak Isnin ditemukan dalam keadaan terapung oleh pasukan penyelamat pada pagi Selasa.

Mayat lelaki warga Indonesia dikenali sebagai Gong Drong ditemukan pada jam 11.59 pagi pada kedudukan 0.6 batu nautika dari Perairan Kuala Gula tidak jauh dari lokasi bot mangsa terbalik.

Iklan
Iklan

Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Kuala Kurau, Leftenan Maritim Mohd Faiz Sujari berkata, pengecaman mayat mangsa dibuat oleh rakannya yang terselamat dalam kejadian itu.

"Mayat telah dibawa ke Jeti Pengkalan Pasukan Polis Marin Kuala Kurau, di sini dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Iklan

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat kini diteruskan bagi mengesan seorang lagi mangsa yang masih hilang.

Mayat nelayan warga Indonesia yang dilaporkan hilang sejak Isnin ditemukan pasukan penyelamat pagi Selasa.

Katanya, mangsa yang merupakan nelayan tempatan dikenali Cheah Teang Khee, 61, hilang di Perairan Tanjung Piandang.

Iklan

"Operasi pencarian kini diperluas dari Perairan Kuala Kurau ke Tanjung Piandang dan turut dibantu komuniti nelayan tempatan," katanya.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat mengesahkan penemuan mayat mangsa dan memaklumkan operasi pencarian mangsa kedua diteruskan pasukan penyelamat.

Dalam kejadian pada Isnin, dua nelayan termasuk seorang warga Indonesia telah hilang di dua lokasi berbeza di Perairan Kuala Gula dan Tanjung Piandang.

Kejadian itu berlaku selepas bot muatan kayu bakau dinaiki warga Indonesia bersama dua rakan terbalik akibat cuaca buruk manakala kehilangan nelayan tempatan disedari sekumpulan nelayan lain selepas botnya ditemui hanyut pada kedudukan 8 batu nautika di Perairan Tanjung Piandang.