KUALA LUMPUR - Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) memperuntukkan lebih 750 gerai fizikal dan maya di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade (MECC) untuk Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) ke-17 mulai 9 hingga 12 September akan datang.
Matrade dalam satu kenyataan berkata, buat pertama kalinya acara itu akan dibuat dalam format hibrid.
"Peserta pameran akan mempunyai pilihan bagi mendapatkan gerai maya yang boleh diakses oleh pengunjung dalam talian pada bila-bila masa, ciri yang berguna untuk pelawat antarabangsa daripada zon masa yang berbeza. Setiap gerai maya akan dilengkapi dengan paparan maklumat sebagai pelengkap produk dan perkhidmatan utama," kata kenyataan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata, selaras dengan trend semasa, pasukannya telah mereka bentuk pameran hibrid dengan keupayaan digital untuk membawa pelanggan, pelabur dan rakan dagang dari kedua-dua dunia.
"Daripada sejarahnya, Mihas telah menjadi platform penyumberan halal yang terkemuka dengan potensi jualan melebihi RM1.6 bilion dicatatkan pada 2019. Kami berharap dapat mengukuhkan Malaysia sebagai hab halal global dengan acara yang bakal merekodkan satu lagi kejayaan pada tahun ini," katanya.
Format pameran baharu ini yang mengambil kira kebimbangan kesihatan dan keselamatan, akan menampilkan acara yang agak terkawal di MECC, dengan semua protokol berkaitan dikuatkuasakan, disepadukan dengan komponen digital seperti pameran maya, Kecerdasan Buatan (AI) yang akan membantu sesi padanan perniagaan, lobi rangkaian maya, sesi khusus industri dan persidangan langsung.
"Dalam usaha meluaskan perspektif mengenai industri halal, acara ini akan memberi tumpuan kepada mempamerkan 12 tonggak utama yang mewakili pasaran halal yang semakin bercambah di seluruh dunia.
"Ini termasuk sektor yang sudah lama membangun seperti makanan dan minuman, pendidikan, farmaseutikal, perkhidmatan dan pemboleh termasuk francais, selain daripada sektor yang lebih kontemporari terdiri daripada fesyen, kewangan Islam, kosmetik dan penjagaan diri, media serta rekreasi, perjalanan mesra Muslim, e-dagang dan teknologi makanan," katanya.
Dianjurkan oleh Matrade di bawah naungan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mihas Showcase tahun ini bertemakan"Memperkasakan Halal, Esok, Bersama", bertujuan untuk meletakkan perniagaan Malaysia menjadi juara halal dunia melalui penggunaan Revolusi Industri 4.0 dan bertindak sebagai pelancar bagi jenama halal dan inovator yang dikuasakan secara digital.
"Sejak penubuhannya pada 2004, Mihas telah menjadi tapak acara kepada 8,200 pameran dari 44 negara dan menarik lebih 400,000 pengunjung dari 88 negara. Acara ini telah menjana lebih RM17.2 bilion dalam perniagaan dalam tempoh 16 tahun sejak penganjurannya," kata Matrade. - Bernama