KUALA TERENGGANU – Seorang adik meminta kerjasama orang ramai mengesan abang sulungnya yang hilang selepas keluar rumah di Kampung Kuala Bekah, Pulau Musang di sini sejak lima hari lalu.
Masrul Ariffin Mohd Nazri, 35, berkata, abang iparnya, Mohd Zulkarnain Abd Rahman, 40, yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) masalah pembelajaran meninggalkan rumah pada 10 Februari, jam 7.40 pagi untuk membuang sampah.
"Selepas itu dia langsung tidak pulang, kami dapat info dari kaunter tiket stesen bas bahawa abang menaiki bas ke Kuala Lumpur pada malam 10 Februari.
Sekarang mertua saya ada di Kuala Lumpur mencarinya tapi tidak jumpa.
"Tiga hari lepas, kami terima maklumat ada yang nampak abang saya di sekitar stesen bas Kuala Terengganu tapi bila dicari tak jumpa,” katanya kepada Sinar Harian.
Ketika keluar dari rumah Ahad lalu kata Masrul Ariffin, Mohd Zulkarnain memakai baju kemeja lengan pendek berwarna merah gelap, berkasut dan seluar hitam.
Bagaimanapun katanya, maklumat dari individu yang melihat abangnya di sekitar stesen bas Kuala Terengganu memaklumkan Mohd Zulkarnain memakai baju hitam.
"Kami bimbang kesihatan dan keselamatannya sebab abang ada penyakit sawan sudah enam hari tidak makan ubat. Dia juga ada masalah rabun kritikal,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap sesiapa yang melihat Mohd Zulkarnain segera menghubungi mertuanya, A Rahman di talian 0199137638 atau isterinya, Jannah di talian 019-9803038.