KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Polis Diraja Malaysia (PDRM) melumpuhkan sindiket jenayah terancang Geng Nicky yang didalangi Pengasas Winner Dynasty Group, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee menerusi 70 serbuan pada 20 hingga 28 Mac lalu.
Serbuan di sekitar Lembah Klang dan Selangor oleh sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor serta Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 4 itu bertindak menahan 118 individu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, antara individu yang ditahan adalah dua adik kepada Soon Hee masing-masing bergelar Datuk Seri dan Datuk berusia 28 dan 30 tahun selain seorang lagi Datuk Seri serta lima Datuk lain.
Menurutnya, daripada jumlah itu, 42 lelaki membabitkan 27 warga tempatan serta 15 warga China serta enam wanita termasuk tiga warga China ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
"Selain itu, turut ditahan 12 individu membabitkan 11 warga China termasuk seorang wanita serta seorang wanita Myanmar ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/69, manakala lapan lagi lelaki tempatan ditahan kerana didapati positif dadah.
"Baki lagi 25 lelaki dan 25 wanita warga tempatan pula dibebaskan selepas proses dokumentasi,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada Selasa yang dihadiri Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.
Abdul Hamid berkata, serbuan ini bertindak merampas pelbagai mata wang asing berjumlah RM773,145 serta 16 kenderaan mewah seperti Rolls Royce, Bently, BMW, Porsche dan Vellfire bernilai RM6.67 juta selain pelbagai barangan lain seperti jam tangan berjenama yang akan dinilai semula oleh pakar bagi mendapatkan nilaian sebenar.
Menurutnya, polis juga sudah membekukan 41 akaun bank bernilai RM4.05 juta dan 35 kenderaan bernilai RM8.86 juta membabitkan 21 individu dan 16 entiti termasuk Yayasan Winner Emperor Sedunia serta Pertubuhan Integriti Nicky Liow Malaysia di bawah Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001.
"Tindakan lanjut menjejak dan membekukan aset-aset berupa tanah, rumah dan bangunan sedang dijalankan,” katanya.
Beliau berkata, siasatan mendedahkan kewujudan aktiviti penipuan dalam talian menggunakan keldai akaun selain transaksi kewangan dengan syarikat milik Winner Dynasty Group.
Tambah Abdul Hamid, pihaknya percaya keldai akaun terlibat dengan aktiviti jenayah komersial seperti ah long, pelaburan tidak wujud dan tipu jual beli dalam talian.
Katanya, semakan mendapati terdapat lima syarikat yang bersekutu dengan Winner Dynasty Group berserta pengarahnya dipercayai terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram.
"Antara pengarah yang dimaksudkan adalah adik kepada Nicky (Soon Hee)," katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, siasatan juga mendapati Geng Nicky yang aktif sejak 2014 ini juga digerakkan oleh seorang bekas Timbalan Pendakwa Raya yang berperanan sebagai penggerak dan mendekati pegawai polis dan kerajaan berdasarkan kedudukannya sebagai pegawai kerajaan.
Tegas Abdul Hamid, beliau percaya Soon Hee masih berada di dalam negara dan usaha memburunya masih dijalankan.
"Dia (Soon Hee) adalah buruan kita. Rangkaiannya telah lumpuh dan adiknya telah ditangkap.
"PDRM tegas dalam tangani ancaman kegiatan sindiket judi, dadah, maksiat, penyeludupan. Tidak ada kompromi. Negara kita cukup kaya, buatlah perniagaan yang halal, mengapa buat kerja sedemikian. Saya tak akan biarkan perkara itu berpanjangan," katanya.
Kes disiasat di bawah Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA), Akta 574 dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).