KUALA LUMPUR – Penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Muhammad Alif Farhan Aerosni memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa, dia disuruh oleh seseorang untuk menumbuk Pegawai Kadet Laut UPNM, Zulfarhan Osman Zulkarnain pada Mei 2017 lalu.
Bagaimanapun, saksi pembelaan ke-20 bagi prosiding bela diri 18 pelajar UPNM terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan itu berkata, dia tidak dapat mengingati identiti individu berkenaan.
Ketika pemeriksaan utama oleh peguam, Datuk Ranjit Singh Dhillon yang mewakili tertuduh ketiga, Muhammad Najib Mohd Razi, saksi berusia 25 tahun itu berkata, ia berlaku ketika dia pulang ke biliknya pada jam 2.05 pagi, 22 Mei 2017.
"Di bilik 04-10, saya dapati suasana suram kerana kurang pencahayaan, ada ramai orang (kadet) dan mereka tengah duduk di tempat masing-masing.
"Kemudian, saya ambil telefon di katil dan ada orang suruh saya tumbuk Zulfarhan dahulu, kemudian saya tepuk bahu Zulfarhan,” katanya.
Sementara itu, semasa pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya N Joy Jothi, Muhammad Alif yang juga rakan sebilik Muhammad Najib berkata, dia tidak bersetuju bahawa Zulfarhan berada di bilik 04-10 untuk disoal siasat mengenai kehilangan komputer riba.
Muhammad Alif berkata, mangsa tidak diikat, namun mengakui Zulfarhan sedang berdiri dengan tidak memakai baju.
Joy Jothi: Saya cadangkan, orang yang suruh awak tumbuk Zulfarhan ialah tertuduh keenam, Abdoul Hakeem Mohd Ali.
Muhammad Alif: Tidak setuju
Joy Jothi: Awak pasti bukan dia?
Muhammad Alif: Bukan, sebab lepas latihan, suara masing-masing serak.
Muhammad Alif Farhan juga tidak bersetuju dengan cadangan Joy Jothi bahawa keterangannya dibuat untuk menyelamatkan rakan-rakannya yang dituduh membunuh Zulfarhan.
Pada 31 Julai 2019, Mahkamah Tinggi memerintahkan 18 penuntut UPNM membela diri terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan.
Lima tertuduh iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mod Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat dan Mohamad Shobirin Sabri berdepan pertuduhan membunuh Zulfarhan, manakala Abdoul Hakeem Mohd Ali didakwa bersubahat membunuh.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara jam 4.45 pagi dan jam 5.45 pagi, 22 Mei 2017, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, manakala Abdoul Hakeem didakwa mengikut Seksyen 109 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Mereka bersama 12 lagi iaitu Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif, Muhammad Adib Iman dan Mohamad Syazwan, juga diperintah membela diri atas pertuduhan mencederakan mangsa.
Mereka didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa untuk mendapatkan pengakuan bahawa dia telah mencuri komputer riba, mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam bilik 03-05, blok penginapan asrama Jebat universiti itu di Kem Perdana, Sungai Besi antara jam 2.30 pagi dan jam 5.30 pagi 21 Mei 2017.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, N Joy Jothi dan Mohd Josiendra Abu Senin.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung Khamis ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Tiada kecederaan dikesan pada trakea Zulfarhan