Ubah suai ekzos: Ka Siong tepis dakwaan buat pusingan U

Iklan
Wee Ka Siong

PUTRAJAYA- Menteri Pengangkutan (MOT), Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menepis dakwaan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng bahawa pihaknya membuat pusingan U berhubung tindakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terhadap pemilik motosikal yang melakukan pengubahsuaian tanpa kebenaran.

Menurutnya, pendekatan berbentuk advokasi dan nasihat merupakan strategi penguatkuasaan yang sering diguna pakai JPJ sejak sekian lama kepada pengguna jalan raya.

Iklan
Iklan

"Kenyataan Guan Eng yang mendakwa MOT atau saya selaku menteri membuat pusingan U berhubung perkara ini adalah sesuatu yang tidak benar serta mengelirukan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, bekas Menteri Kewangan itu terlepas pandang kenyataan dikeluarkan JPJ pada 16 Mac lalu yang menjelaskan pendekatan advokasi diambil sebelum tindakan punitif dikenakan terhadap mana-mana pesalah.

Iklan

"Pengubahsuaian ekzos motosikal tanpa kebenaran, Notis Temu Siasat di bawah Seksyen 114(1), Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 akan dikeluarkan JPJ bagi membolehkan JPJ melakukan siasatan dan pengumpulan maklumat berkaitan kesalahan pengubahsuaian ekzos motosikal tanpa kebenaran," katanya.

Selain itu, Ka Siong berkata, JPJ akan mengeluarkan Notis Arah Periksa Kenderaan di bawah Seksyen 61(1) dan Notis Larangan Penggunaan kenderaan (Notis PG1) di bawah Seksyen 59(1) akta sama.

Iklan

"Melalui pendekatan advokasi ini, pemilik diberikan peluang untuk membaiki atau menukar ekzos yang mematuhi pembuatan dan kegunaan yang telah ditetapkan dalam tempoh sepuluh hari," katanya.

Menurutnya, pemilik perlu mengemuka atau membawa semula kenderaan motor ke mana-mana pejabat JPJ bagi tujuan pemeriksaan sebagai bukti pembaikan terhadap ekzos tersebut telah dibuat dan mematuhi kaedah pembuatan dan kegunaan, tanpa dikenakan saman.

"Namun, orang ramai diingatkan bahawa pengubahsuaian ekzos kenderaan motor tanpa kebenaran adalah menjadi satu kesalahan, dan boleh dikompaun tidak lebih RM300, atau jika disabitkan kesalahan di mahkamah, pesalah boleh didenda di bawah Seksyen 119, APJ 1987 dan denda tidak lebih RM2,000 atau boleh dipenjara tidak lebih enam bulan," katanya.

Beliau berkata, kerajaan amat memahami bahawa pada masa ini, ramai pemandu termasuk penunggang motosikal di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bergantung sepenuhnya pada kenderaan mereka untuk mencari pendapatan.

"Kerajaan juga memahami pemandu motosikal akan berhadapan kesukaran sekiranya dikenakan denda kerana melakukan kesalahan," katanya.

Tambahnya, dasar berkaitan jalan raya dan pengangkutan digubal bagi melindungi keselamatan pengguna jalan raya termasuk pejalan kaki.