SHAH ALAM- Pengendali rangkaian maya mudah alih terbesar di Malaysia, redONE Network Sdn Bhd (redONE) meraikan 2,000 rakan niaganya dari seluruh negara dengan mengadakan konvensyen maya interaktif pada awal Mac tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif redONE, Farid Yunus berkata, konvensyen itu yang bertemakan Konvensyen Sahabatku 2021 itu diadakan untuk menggantikan acara makan malam tahunan Star Night susulan penularan pandemik Covid-19 ketika ini.
Menurut Farid, menerusi konvensyen itu, redONE telah memperuntukkan RM2.2 juta dengan menawarkan pelbagai hadiah menarik berbentuk wang tunai dan hadiah cabutan bertuah.
"Konvensyen ini diadakan untuk menghargai perniagaan yang telah bekerja keras pada tahun 2020. redONE meraikan rakan niaga kami kerana mereka ibarat rakan dan keluarga dan ia bertepatan dengan tema yang dipilih,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Selain Farid, Ketua Pegawai Jualan, Ben Teh dan Ketua Pegawai Operasi, Tee Yew Yaw menjadi panel dalam konvensyen itu yang diadakan di Puchong.
Mengulas lanjut, Farid berkata, dalam situasi pandemik, redONE berbangga dengan pencapaian yang diperoleh oleh rakan niaganya.
"Walaupun kami tidak dapat bertemu secara fizikal pada tahun ini kerana pandemik, kami gembira kerana melihat rakan niaga menerusi siaran langsung. Kami bangga dengan pencapaian mereka pada tahun 2020 yang merupakan tahun sukar bagi semua orang,” katanya.
Beliau berkata, konvensyen itu merangkumi beberapa topik menarik dan berwawasan termasuk prestasi redONE terhadap para pesaingnya, pertumbuhan bahagian pasaran, rancangan strategik untuk tahun ini dan pengembangannya ke Singapura, Thailand dan Filipina pada tahun 2021.
Turut diadakan sempena konvensyen itu ialah pelancaran aplikasi mudah alih inovatif baharu iaitu redADS untuk membantu rakan jualan redONE menjana lebih banyak jualan dan merekrut ejen penjualan dengan lebih cekap.
redONE juga telah memberikan hadiah wang tunai berjumlah RM573,000 kepada 51 rakan niaga dalam Cabaran Jualan Pascabayar.
Selain itu, 20 pemenang bertuah yang layak memenangi sebuah kereta baharu dalam Hadiah Bonanza Kereta 2020 yang terdiri daripada dua kereta berjenama Toyota Hilux, sembilan kereta Proton X50 dan sembilan kereta Perodua Aruz.
Peserta lain juga layak mendapat cabutan bertuah di mana 100 baucar tunai redMALL bernilai RM1,000 setiap satu telah diberikan.
Nilai keseluruhan hadiah yang diberikan ketika Konvensyen Sahabatku 2021 berjumlah RM2.2 juta dan ia menunjukkan penghargaan redONE kepada semua rakan niaganya sambil mendorong mereka untuk terus berusaha pada tahun 2021.