SHAH ALAM - Pihak Agensi Pekerjaan Swasta (APS) meminta kerajaan membenarkan kemasukan pembantu rumah dari Indonesia dan Filipina ke negara ini dengan segera.
Ia berikutan permintaan rakyat yang mahu perkhidmatan tersebut beroperasi seperti biasa terutama keluarga yang mahu pembantu rumah menjaga anak-anak dan ibu bapa mereka yang sakit tua.
Ditambah pula dengan agensi berkenaan mengalami kerugian serius, dengan beberapa daripadanya sudah tidak dapat bertahan malah terpaksa gulung tikar kerana tiada sumber pendapatan untuk meneruskan perkhidmatan tersebut.
Penyelaras Gabungan APS, Ahmad Tarmiji Osman memaklumkan, hampir 700 pembantu rumah di semua APS tidak dapat memasuki Malaysia disebabkan penutupan pintu sempadan dan urusan pemprosesan untuk pengambilan pembantu rumah digantung.
"Untuk agensi saya sendiri, seramai 97 orang yang tidak boleh masuk. Mereka sudah ada visa masing-masing, namun disebabkan pandemik Covid-19, pintu sempadan terpaksa ditutup,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Dalam pada itu, beliau berkata, Singapura, Hong Kong, Taiwan dan beberapa negara Timur Tengah sudah pun membuka sempadan mereka untuk pembantu rumah asing sejak sekian lama.
Menurutnya, setakat ini tiada lagi insiden kluster baharu daripada kalangan pembantu rumah asing.
"Ini kerana negara berkenaan telah melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) ketat yang mana pembantu rumah akan dikuarantin di asrama ejen atau pusat kuarantin terlebih dahulu,” katanya.
Ahmad Tarmiji turut menyarankan supaya kerajaan menggunakan aplikasi MyTravel Pass bagi kemasukan pembantu rumah ke Malaysia.
"Ini kerana sistem berkenaan dilihat lebih efisyen dan menyeluruh dari segi SOP,” katanya.
Ketika ditanya mengenai kaedah pengambilan pembantu rumah di kedua-dua negara berkenaan, beliau berkata, setiap APS wajib mematuhi syarat dan peraturan yang telah pun ditetapkan oleh kedutaan masing-masing termasuk bayaran gaji dan pengambilan cuti.
"Maksimum gaji untuk pembantu rumah Indonesia adalah sebanyak RM1,269, manakala Filipina pula sebanyak RM1,680. Ini sudah ditetapkan oleh kedutaan masing-masing.
"Jika gaji mereka diberi kurang daripada jumlah ditetapkan, maka agensi terbabit akan dikenakan hukuman denda.
"Mereka juga akan mula bekerja pada jam 6 pagi sehingga jam 7 petang setiap hari dan berhak mendapat cuti satu kali seminggu. Kalau kerja lebih masa, majikan akan bayar ‘over time’ (OT).
"Selepas dua tahun, kalau pembantu rumah nak sambung kontrak, mereka kena buat surat yang menyatakan mereka nak sambung,” katanya.