HUKUMAN pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Natxo Insa berkenaan tindakannya 'menyentuh' pengadil pada perlawanan Liga Super ketika menentang Perak pada 21 Mac lalu akan diketahui pada Khamis.
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, tindakan Insa itu akan dibicarakan dalam jawatankuasa tatatertib sekali gus membuat keputusan hukuman yang akan dikenakan kepada pemain tersebut.
"Bukan kami tak tegas, tetapi proses ini ada protokolnya sebelum membuat keputusan.
"Semua pihak dan peminat perlu bersabar. Saya tahu ada yang mempertikaikan apa yang berlaku selain ada yang membuat andaian yang bukan-bukan.
"Jadi, isu Natxo Insa akan dibincangkan pada Khamis ini dan jawatankuasa akan laksanakan dengan telus.
"Saya percaya pihak jawatankuasa tatatertib akan buat keputusan yang adil dan tidak menyebelahi mana-mana pihak," katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran Liga SupaRimau di Wisma FAM Kelana Jaya pada Selasa.
Terdahulu, peminat bola sepak negara menyifatkan FAM tidak berlaku adil selepas tidak mengeluarkan sebarang hukuman kepada Insa yang dilihat melakukan sentuhan kepada pengadil, Noor Azriel Baharudin dalam perlawanan menentang Perak pada 21 Mac lalu.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menjelaskan kes Insa tidak dibincangkan lebih awal kerana insiden tersebut berlaku tiga hari sebelum jawatankuasa tatatertib pertama bersidang pada 24 Mac.
"Dalam kes pemain Kelantan FC, Jack Raymond Hindle dan pemain Selangor FC 2, Hein Htet Aung berlaku pada 6 Mac, kes pemain Melaka United FC, Alex Dos Santos Goncalves dan pemain PJ City FC, Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri pula berlaku pada 10 Mac.
"Empat kes tersebut memakan masa kerana ada ruang dan peluang kepada pemain dan pegawai pasukan untuk membela diri daripada kesalahan tersebut. Kemudian, jawatankuasa tatatertib akan menentukan hukuman.
"Jadi, kes Insa ini tidak dibicarakan pada persidangan jawatankuasa tatatertib pertama. Kesnya akan dibicarakan pada Khamis ini pada persidangan kedua Jawatankuasa Tatatertib," katanya.