Akhirnya kuasa penentu di tangan rakyat

Iklan
Gambar hiasan.

SELEPAS selesai Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 pada Ahad lalu, masih terdengar suara-suara orang politik yang dikatakan kurang senang dengan keputusan UMNO tidak mahu bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

UMNO dikatakan perlu bekerjasama membentuk gabungan besar parti politik selain bersama Pas, demi kepentingan parti itu dan pengundi, lebih-lebih lagi ketika ada pemimpinnya terpalit kes mahkamah.Namun, tidak salah ahli UMNO membuat keputusan sedemikian. Itu parti mereka, antara parti tertua di Malaysia.

Iklan
Iklan

Mereka boleh membuat ketetapan untuk bersama siapa atau menolak sesiapa, malah membuat pusingan U berdasarkan pertimbangan semasa.

Dalam politik segalanya mungkin kerana penentu dan keputusan akhir adalah terletak di tangan rakyat. Rakyat berkuasa menaikkan atau menjatuhkan sebuah kerajaan.

Iklan

Bak kata seorang penganalisis politik, jika UMNO bergerak solo, ia memberi keadilan dan memudahkan rakyat memilih parti manakah yang mereka mahu pangkah.

Kata beliau, jika UMNO bergabung dengan Bersatu, pastinya sukar untuk rakyat membuat pilihan. Jika mereka mahu mengundi UMNO, tetapi calon Bersatu yang bertanding di situ, mungkin ada yang tidak berpuas hati dan begitulah sebaliknya.

Iklan

Ini kerana jika gabungan besar parti, sudah tentu mereka tidak mahu berlaku pertembungan kerusi atau perebutan kerusi pada PRU15 kelak.

Semasa berlangsung PAU 2020 juga, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan ada menyebut beliau boleh bertanding di mana-mana kerusi Parlimen yang diingininya pada PRU nanti.

Strategi

Tegasnya lagi, UMNO menyasarkan untuk menang sekurang-kurangnya 80 kerusi di samping kerusi yang dimenangi parti komponen Barisan Nasional (BN) dalam PRU akan datang.

Selain itu, ada juga ura-ura UMNO mahu bertanding dan memenangi lebih 100 kerusi.

Angka-angka ini membayangkan UMNO mahu kembali berkuasa dan menjadi parti dominan pada PRU15. Jika itulah pertimbangannya, maka keputusan UMNO tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu pada PRU kelak bolehlah dianggap sebagai strategi untuk merealisasikan impian menjadi parti dominan tersebut.

Apatah lagi, Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman juga memberitahu tidak mungkin Bersatu dan Pas akan bertanding melebihi daripada kerusi yang ditandingi UMNO.

"Yakinlah UMNO pasti, insya-ALLAH akan menjadi kerajaan semula selepas PRU15. Ringkasnya selepas PRU akan datang, percayalah tidak ada satu parti pun yang akan menang lebih daripada kerusi UMNO,” katanya.

Jika benar apa diperkatakan, ia memberi suntikan baharu buat ahli UMNO untuk terus mengatur langkah. Namun kuasa rakyat jangan diambil mudah ketika rakyat sekali lagi hanya menjadi pemerhati gelagat ahli-ahli politik.

Rakyat berhak untuk memilih siapa yang mereka rasa betul-betul layak membentuk kerajaan yang mengutamakan kebajikan, bukan ghairah berebut kuasa atau asyik melompat parti.

Sejarah PRU14 tidak wajar dilupakan di mana UMNO yang menjadi tunjang BN dan telah memerintah selama 60 tahun tiba-tiba tumbang selepas rakyat membuat keputusan memilih Pakatan Harapan (PH) sebagai kerajaan.

Walaupun PH hanya mampu bertahan selama hampir dua tahun tetapi terbukti kuasa rakyat masih berbisa.

Justeru, jangan diperlekehkan kuasa rakyat. Untuk anak muda pula, jangan hebat berbahas dan mengkritik hal-hal politik di laman sosial sahaja kalau belum mendaftar sebagai pengundi.

Ini kerana pendaftaran pengundi umur 18 tahun secara automatik hanya akan dapat dilaksana selepas 1 September 2022. Andai PRU15 diadakan lebih awal dari tarikh itu, golongan muda ini juga yang akan berputih mata.

Tidak guna cakap berdegar-degar di laman sosial tetapi tidak mendaftar sebagai pengundi kerana akhirnya anda yang rugi!

* Syairah Abdul Lajis ialah wartawan Sinar Harian