'Macam bercuti di luar negara'

Iklan
Noradibah tidak melepaskan peluang bergambar bersama keluarganya di pokok tekoma di Taman Bandar Baru Masjid Tanah.

ALOR GAJAH - Beberapa jalan di negeri ini termasuk di Taman Bandar Baru Masjid Tanah menjadi tumpuan orang ramai untuk bergambar di pokok tekoma atau nama santifiknya tabebuia rosea.

Barisan 10 batang pokok itu yang terletak di tepi jalan berdekatan Klinik Kesihatan Masjid Tanah dan Pejabat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Masjid Tanah menjadikan kawasan itu lebih ceria dengan keindahan bunga tekoma berwarna merah jambu dan putih.

Iklan
Iklan

Pengunjung, Suraya Zulkifli, 32, berkata, pokok bunga ini sememangnya cantik dan sesuai dijadikan lokasi bergambar kerana tidak terlalu berhampiran dengan jalan raya.

Menurutnya, memandangkan rentas negeri dengan menaiki kenderaan persendirian masih belum dibenarkan, namun sekurang-kurangnya pokok tekoma ini boleh dijadikan satu produk pelancongan di Melaka dan melihat kehadiran orang ramai di kawasan itu, dia yakin ramai penggemar pokok tekoma.

Iklan

"Seolah-olah kita berada di negara sakura. Saya yang datang dari Jasin tidak ketinggalan mengambil gambar di sini walaupun ada banyak lagi kawasan, tapi bila lihat gambar di sini tular jadi saya tidak melepaskan peluang.

"Lagipun kawasan di sini strategik dan mudah untuk memberhentikan kenderaan dan tidak mengganggu lalu lintas," katanya.

Keindahan pokok tekoma di Taman Bandar Baru Masjid Tanah yang tular di Facebook baru-baru ini.

Iklan

Suri rumah, Noradibah Mohd Shah, 35, berkata, dengan adanya pokok tekoma ini sekurang-kurangnya cuti sekolah ini dapat membawa anak-anak menikmati keindahan ciptaan ALLAH SWT tanpa perlu mengeluarkan wang.

"Jadi ibu bapa boleh bawa anak ke sini dan banyak yang boleh dipelajari termasuk nama saintifik pokok ini dan asalnya.

"Apa yang saya harapkan ada papan info yang diletakkan di pokok ini, supaya pengunjung bukan sekadar bergambar namun menambahkan pengetahuan," katanya.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Mohd Fadhil Hassan berkata, pihaknya sentiasa membuat penyelenggaraan dan pokok-pokok sentiasa dibuat cantasan serta pembajaan bagi memastikan pokok sentiasa subur dan membesar dengan baik.

"Kebanyakan pokok tekoma ini ditanam di jalan-jalan utama seperti Persekutuan dan jalan-jalan negeri selain di kawasan lapang dan taman rekreasi, jadi kita akan memantau agar keindahan itu dapat dinikmati pengunjung," katanya.

Berdasarkan data Sistem Inventori Pokok Negeri Melaka (mytrees@melaka) pada tahun 2019, sebanyak 1,355 pokok spesies itu yang terdapat di negeri ini.

Pokok daripada keluarga bignoniaceae berasal dari benua Amerika mempunyai tiga jenis warna iaitu putih, merah jambu dan kuning yang kebiasaannya akan berbunga pada waktu cuaca panas dan kering.