MERAK Jalanan sangkakan vandalisme cuma berlaku di bandar seperti perbuatan menconteng mural tokoh terkenal negara di Shah Alam, Selangor tahun lalu.
Namun, rupa-rupanya perangai hodoh itu terbawa-bawa hingga ke dalam hutan dan gua.
Baru-baru ini kecoh di media sosial apabila seorang pengguna Facebook mendakwa sebuah syarikat produksi telah merosakkan dinding Gua Matsoorat di Ipoh, Perak semasa menjalani penggambaran drama TV.
Khabarnya seorang kru mereka telah melukis grafiti pada dinding gua.
Sebelumnya, fosil gigi mamalia herbivor berusia jutaan tahun di gua itu didapati pecah, lumpur bersepah di serata tempat dan terdapat lilin di dinding.
Setahu Merak Jalanan, Gua Matsoorat yang terletak berhampiran Gunung Lang bakal menjadi geotapak ke-19 dalam rangkaian Geopark Lembah Kinta.
Selain fosil, beberapa lukisan prasejarah turut dijumpai pada dinding gua, dipercayai dilukis lebih 5,000 tahun lalu berdasarkan warna dan bahan yang digunakan.
Jadi Gua Matsoorat bukanlah gua biasa-biasa. Peluang untuk kita buat duit dalam pelancongan geotapak sangat besar.
Sebab itu negara seperti Peru, China dan Jepun jaga betul-betul geotapak mereka. Peru misalnya pernah mengusir lima pelancong asing dan mengharamkan mereka memasuki negara itu selama 15 tahun selepas didakwa merosakkan mercu tanda Peru, Machu Picchu.
Dalam kes di Gua Matsoorat ini, individu terbabit tidak patut dilepaskan begitu sahaja.
Merak Jalanan nampak vandalisme telah tersebar ke merata-rata. Lebih malang lagi jika ‘harta benda’ yang dirosakkan itu adalah produk pelancongan.
Kalau sudah orang dewasa, bergelar profesional pula terlibat sama, apa lagi hendak diharapkan dengan kaki dadah atau remaja belum habis sekolah.