'Transporter', tekong darat bawa masuk PATI ditahan

Iklan
'Transporter' yang ditahan PGA di sekitar Pontian pada Selasa.

PONTIAN - Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan tiga lelaki tempatan yang bertindak sebagai 'transporter' (pengangkut) membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) dan seorang tekong darat warga Indonesia di dua lokasi berasingan di sekitar daerah ini pada Selasa.

Turut ditahan ialah seorang lelaki tempatan yang menyediakan sebuah premis perlindungan kepada PATI.

Iklan
Iklan

Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superintendan Dimin Awang berkata, dalam kejadian pertama, dua lelaki tempatan berusia 37 tahun yang bertindak sebagai 'transporter' bersama tiga PATI ditahan di sekitar Jalan Tanjung Bin di sini kira-kira jam 2 pagi Selasa.

Beliau berkata, tiga PATI berusia 24 hingga 46 tahun itu dipercayai memasuki negara ini melalui jalan yang tidak diwartakan, manakala sebuah kereta jenis Toyota Vios digunakan sebagai 'transporter' bagi menghantar PATI berkenaan turut dirampas.

Iklan

"Hasil siasatan telah membawa kepada tangkapan seorang lelaki tempatan berusia 32 yang turut bertindak sebagai 'transporter' di sekitar Lorong Haji Don.

"Turut ditahan ialah seorang tekong darat lelaki warga Indonesia berumur 38 tahun dan seorang PATI berusia 23 tahun yang dipercayai masuk ke negara ini melalui jalan yang tidak diwartakan.

Iklan
Sebahagian PATI yang ditahan PGA di sekitar Pontian pada Selasa.

"Sebuah kenderaan pelbagai guna ( MPV) jenis Perodua Alza turut dirampas," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Menurut Dimin, siasatan ke atas tekong darat tersebut membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun yang bertanggungjawab menyediakan tempat perlindungan sementara PATI di sebuah premis di Parit Baran Jalan Sanglang.

Katanya, seramai lima PATI berusia lingkungan 18 hingga 30 tahun yang dipercayai memasuki negara ini melalui jalan yang tidak diwartakan juga ditahan.

"Tangkapan dan rampasan yang dianggarkan berjumlah RM134,000 itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 26(a) Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007," katanya.