Tiada pengeluaran Mata Wang Digital Bank Pusat: BNM

Iklan

KUALA LUMPUR - Bank Negara Malaysia (BNM) tidak mempunyai rancangan untuk mengeluarkan Matawang Digital Bank Pusat (CBDC) dalam masa terdekat.

Dalam Laporan Tahunan 2020, BNM berkata, di Malaysia sistem kewangan terus menyokong fungsi ekonomi selain memenuhi keperluan individu dan perniagaan.

Iklan
Iklan

"Bagi mencapai matlamat ini, alat dasar monetari dan kewangan yang sedia ada kekal berkesan dalam memelihara kestabilan monetari dan kewangan.

"Selain itu, sistem pembayaran domestik, termasuk Platform Pembayaran Runcit Masa Nyata (RPP) terus beroperasi dengan selamat dan cekap untuk menyokong keperluan ekonomi dan membolehkan pembayaran digital masa nyata,” katanya.

Iklan

Laporan menyatakan kemajuan teknologi dan kadar pendigitalan yang semakin pesat telah mendorong kepada peningkatan penggunaan pembayaran secara digital dan kemunculan aset digital secara persendirian, seperti Bitcoin, Ethereum dan Stablecoin.

Kebanyakan aset digital, dalam bentuknya pada masa ini, tidak digunakan sebagai instrumen pembayaran disebabkan terutamanya aset ini tidak menunjukkan ciri-ciri universal wang.

Iklan

Pada dasarnya, ciri-ciri aset digital menghalang aset tersebut daripada menjadi penyimpan nilai dan medium pertukaran yang baik disebabkan keadaan aset digital yang terdedah kepada turun naik harga yang tidak menentu, ancaman siber dan kekurangan dari segi boleh skala.

"Sebagai contoh, harga Bitcoin mencatatkan penurunan mendadak sebanyak 39 peratus dalam tempoh satu hari pada Mac 2020. Oleh itu, orang ramai perlu mempunyai pemahaman yang jelas mengenai aset digital seperti ciri-cirinya, teknologi yang mendasarinya dan risiko yang berkaitan,” menurut BNM.

Katanya, bentuk baharu aset digital seperti Stablecoin juga telah mula diperkenalkan, untuk mengurangkan turun naik nilainya dengan menghubungkan atau menyokongnya dengan aset mata wang fiat.

Memandangkan situasi ini berkembang dengan pantas, BNM berkata ia akan menilai secara aktif potensi tawaran nilai CBDC berdasarkan perkembangan dalam landskap aset digital dan pembayaran.

Keputusan dasar utama mengenai CBDC akan dibuat berdasarkan manfaat yang jelas kepada Malaysia secara keseluruhan, di samping memastikan risiko berkaitan yang timbul daripada pengeluaran CBDC, khususnya risiko kestabilan kewangan, diuruskan dengan berkesan.

Pengeluaran CBDC perlu menjadi pelengkap kepada instrumen pembayaran yang sedia ada termasuk wang tunai fizikal bagi memastikan semua rakyat Malaysia, khususnya masyarakat yang kurang mendapat perkhidmatan kewangan, mempunyai akses berterusan kepada penyelesaian pembayaran yang selamat dan cekap.

"BNM juga akan memantau secara aktif trend dalam penunjuk utama yang mempunyai impak secara langsung terhadap mandatnya, yang boleh berfungsi sebagai rujukan data yang berguna bagi menilai kewajaran pengeluaran CBDC.

"Antara lain, penunjuk utama ini termasuk tahap penggunaan wang tunai fizikal di Malaysia, sejauh mana aset digital yang diterbitkan secara persendirian digunakan bagi tujuan pembayaran di Malaysia, dan sejauh mana CBDC sedang digunakan untuk memudahkan perdagangan rentas sempadan,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan pemahaman tentang risiko yang berkaitan dan implikasi terhadap dasar, bank pusat sedang giat membina keupayaan dalaman untuk menyokong keputusan berasaskan maklumat yang mencukupi mengenal pengeluaran CBDC termasuk melaksanakan pembuktian konsep (POC), katanya. - Bernama