GOMBAK - Seorang penghantar barangan yang terlibat kemalangan bersyukur menerima Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS) daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Nasrullah Nadri, 35, berkata, faedah Perkeso yang diterima banyak membantu mengurangkan beban ditanggungnya sebagai ketua keluarga selepas terbabit kemalangan.
Katanya, keluarga bergantung penuh dengan pendapatannya memandangkan isterinya tidak bekerja selain menyara seorang anak.
"Saya terima gaji hari, jadi apabila tidak bekerja maka tiada pendapatan.
"Dengan wang faedah ini dapat digunakan bagi menyara keluarga buat sementara waktu sehingga saya boleh memulakan pekerjaan,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan cek faedah di Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia.
Penyerahan sumbangan itu disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham pada Selasa. Dalam kemalangan sewaktu menghantar pesanan pelanggan di Puncak Alam pada 1 Mac lalu, Nasrullah mengalami patah tulang di kaki kanan, luka di tangan kanan dan sakit pada dada serta belakang badannya selepas dirempuh sebuah kereta dari arah bertentangan.
Susulan kejadian tersebut, Nasrullah menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah dan diberikan cuti sakit selama 28 hari hingga 28 April.
Sementara itu, Ketua Bahagian Skim Pekerjaan Sendiri Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Azhar Md Nadzri berkata, kes Nasrullah telah dirujuk kepada Perkeso bagi tuntutan faedah perlindungan Orang Berinsurans Bekerja Sendiri (OBBS).
"Hasil semakan mendapati Nasrullah merupakan pencarum aktif di bawah Skim Pekerjaan Sendiri (SPS) Lindung selama setahun sejak 12 Februari lalu.
"Nasrullah layak menerima bayaran FHUS berjumlah RM2,397 bagi tempoh cuti sakit tersebut,” katanya.
Turut menerima FHUS adalah penghantar makanan, Safadila Hussain, 37, yang mendaftar di bawah Program PenjanaGig.
Beliau layak menerima bantuan sebanyak RM4,918 selepas diberikan cuti sakit selama 119 hari akibat kemalangan ketika bekerja.