PASIR GUDANG - Kerajaan negeri Johor perlu mengadakan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) alternatif sebagaimana yang dilaksanakan di Pulau Pinang agar wakil rakyat dapat menjalankan peranan ‘semak dan imbang’ kepada kerajaan selain menyuarakan masalah rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya, Liow Cai Tung berkata, sekarang adalah masa terbaik untuk melaksanakannya memandangkan semua ADUN telah divaksin, selain memastikan ADUN dan pegawai yang terlibat mengikut prosedur operasi standard (SOP).
Menurutnya, sekiranya perlaksanaan darurat tidak dibuat, Sidang DUN Johor dijadualkan berlangsung pada awal Mac lalu.
"Kebiasaannya selepas Mac, akan ada sesi kedua iaitu pada Mei atau Jun. Tapi jika ia tidak berlangsung, kita akan ‘miss’ dua Sidang DUN yang menjadi medan penting untuk wakil rakyat mengutarakan sebarang permasalahan yang berbangkit.
"Tambahan pula tahun lepas kita menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita terlepas banyak sesi Sidang DUN. Kita (wakil rakyat) tiada platform untuk menjalankan ‘semak dan imbang’ dan menyuarakan masalah penduduk dan kawasan.
"Pakatan Harapan (PH) pernah menyeru agar kerajaan negeri untuk mengadakan Sidang DUN, tapi kali ini saya akan buat surat sendiri kepada Menteri Besar Johor (Datuk Ir Hasni Mohammad), supaya kerajaan negeri menimbangkan perkara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjayakan Program Flashmob Bantah Darurat, Buka Parlimen di Pasir Gudang pada Rabu.
Sementara itu, ADUN Bukit Batu, Jimmy Puah Wee Tse yang turut menyertai program itu berkata, kerajaan negeri tidak akan berani untuk melaksanakan Sidang DUN alternatif.
Menurutnya, ia bukan disebabkan kerajaan negeri takutkan kepada pembangkang, tetapi kebimbangan mereka terhadap konflik melibatkan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
"Saya 100 peratus yakin beliau (Hasni) tidak akan buat, bukan sebab takut kita tapi takut Bersatu dan UMNO. Bayangkan kalau jadi (Sidang DUN) hari ini, yang gaduh bukan kita (pembangkang) tapi mereka yang bergaduh.
"Saya sendiri akan WhatsApp kepada MB sekarang juga, minta beliau laksanakan sebagaimana di Pulau Pinang. Apa yang dilakukan di Pulau Pinang patut kita contohi. Kita perlukan platform itu, tapi platform itu telah dihalang kerajaan Pusat sekarang,” katanya.