MELAKA - Hujan lebat berserta angin kuat menyebabkan enam khemah peniaga di Uptown Jebat Street di Klebang di sini rosak dipukul ribut pada malam Selasa.
Dalam kejadian jam 10.15 malam itu, kebanyakan peniaga yang menjual barangan seperti pakaian, mainan kanak-kanak dan aksesori sedang menjalankan urus niaga seperti biasa sebelum keadaan bertukar panik.
Peniaga pakaian, Muhamad Syahir Abd Rahman, 32, berkata, ketika itu dia hanya memikirkan untuk menyelamatkan diri dan terpaksa membiarkan pakaian yang dijual dibasahi hujan selepas khemah kedainya musnah.
Menurutnya, kejadian berlaku begitu pantas dan dia hanya mampu melihat khemah kedainya rosak.
"Masa itu, saya hanya fikir cari tempat selamat berteduh.
"Apa pun saya reda, walaupun pakaian yang rosak adalah stok baharu lebih-lebih menjelang Ramadan tak lama lagi, namun semua ini kita tak jangka," katanya yang mengalami kerugian kira-kira RM10,000.
Sementara itu, saksi kejadian, Irwan Khamis, 37, berkata, ketika kejadian dia dan bapa mentuanya sedang menjala udang di pantai berkenaan dan ternampak keadaan menjadi kelam kabut termasuk barang-barang niaga di kawasan itu diterbangkan angin.
"Tak lama selepas itu semua khemah peniaga gelap kerana 'blackout' dalam masa sama ada di antara peniaga memegang khemah masing-masing untuk mengelakkan daripada diterbangkan angin," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Rabu.
Exco Pertanian, Penternakan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Norhizam Hassan Baktee ketika dihubungi Sinar Harian berkata, beliau sudah turun padang melihat keadaan dan mendengar luahan hati peniaga yang ada di antara mereka mengalami kerugian RM6,000 hingga RM7,000.
Menurutnya, insiden yang menimpa enam peniaga akan dipanjangkan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mas Ermieyati Samsudin agar dapat menyalurkan bantuan awal kepada mereka yang terjejas.
"Kerajaan negeri akan cuba membantu peniaga terjejas akibat kejadian itu dan saya juga telah meminta penganjur uptown tersebut agar segera mendirikan khemah baharu untuk membolehkan peniaga kembali berniaga," katanya.