Keputusan Bersatu di Johor beri implikasi besar politik negara

Iklan
Md Akbal

JOHOR BAHRU - Sebarang keputusan yang dibuat oleh Bersatu di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor akan memberi implikasi kepada perkembangan politik di negara ini.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Dr Md Akbal Abdullah berkata, beliau membayangkan kesan lebih besar kepada arena politik negara terutama kerjasama UMNO dan Bersatu jika sokongan sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) dari Bersatu menarik diri daripada menyokong kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad Hasni.

Iklan
Iklan

"Jika berlaku penarikan sokongan di Johor dibimbangi akan merebak ke seluruh negara. Keadaan ini tidak baik, saya yakin Bersatu juga tidak boleh berseorangan dalam persaingan politik ketika ini.

"Jika Bersatu menarik diri di Johor, kemungkinan perpecahan ini merebak ke seluruh negara dan Bersatu akan keluar lebih awal sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)," katanya.

Iklan

Pada Ahad kenyataan dibuat dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 dilihat mencabar kerjasama parti itu dengan Bersatu Johor yang membentuk kerajaan negeri di bawah Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun kebimbangan turut dilahirkan, jika benar berlaku penarikan sokongan ia akan merencatkan perancangan penting kerajaan negeri terutama dalam soal vaksin serta pemulihan ekonomi terutama dalam soal pembukaan Tambak Johor.

Iklan

Menurut Md Akbal, titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang memberi amaran untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) serta-merta jika perebutan kuasa dalam kalangan wakil rakyat negeri ini terus berlaku perlu diambil iktibar oleh semua pemimpin politik di negeri ini.

Menerusi Facebook rasmi baginda pada 2 Jun lalu, Sultan Ibrahim meluahkan rasa amat kecewa dengan kemelut politik yang masih berlaku di negeri ini kerana ada pemimpin yang gila kuasa dan terus merebut jawatan demi kepentingan diri mereka.

Sultan Ibrahim bertitah, dalam keadaan rakyat yang sedang susah sekarang, mereka langsung tidak peduli dan sanggup menambah lagi derita rakyat.

Namun ketika negara masih dalam tempoh darurat ketika ini semua pilihan raya termasuk Pilihan Raya Umum (PRU), Pilihan Raya Negeri (PRN) serta Pilihan Raya Kecil (PRK) tidak akan diadakan.

Pada Selasa, Bersatu Johor kecewa dengan kenyataan Hasni yang dilihat memperlekehkan kedudukan dan sumbangan Bersatu dalam permuafakatan kerajaan negeri Johor.

Timbalan Pengerusi Bersatu Johor, Md Nasir Hashim seterusnya memberi peringatan bahawa kerajaan Johor boleh tumbang pada bila-bila masa, jika terdapat mana-mana dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tidak berpuas hati dengan kenyataan Menteri Besar Johor dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 sekali gus menarik sokongan terhadapnya.

Hasni yang juga Pengerusi UMNO Johor ketika membahaskan ucapan dasar Presiden UMNO sempena PAU 2020 pada Ahad berkata, Muhyiddin lemah di kawasannya dan berdasarkan kajian UMNO Johor, orang Melayu di negeri itu hanya 26 peratus menyokong PN.

Pada Isnin, Bersatu Johor dan Perikatan Nasional (PN) Johor dilaporkan akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan hala tuju kerjasama bersama UMNO Johor, petang ini.

Ketua Bahagian Bersatu Ayer Hitam, Datuk Osman Sapian, dilaporkan berkata, kedua-dua mesyuarat berkenaan akan dipengerusikan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu.

Difahamkan mesyuarat Bersatu Johor diadakan pada petang Rabu di Putrajaya.