Undi 18: Guna segala sumber kalau serius laksana

Iklan
Jimmy (tiga dari kanan) dan Cai Tung (lima dari kanan) turut menyertai Program Flashmob Bantah Darurat, Buka Parlimen di simpang empat Masjid Jamek Pasir Gudang, pada Rabu.

PASIR GUDANG - Kerajaan sepatutnya menggunakan semua sumber yang ada untuk membantu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) jika benar-benar serius untuk melaksanakan Pendaftaran Pemilih Automatik dan Undi18 dalam tempoh terdekat.

Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Jimmy Puah Wee Tse berkata, tiada alasan untuk tidak mengimplementasikan undi itu kerana telah diluluskan di Parlimen.

Jimmy Puah Wee Tse

Iklan
Iklan

Menurutnya, melambatkan pelaksanaan Undi 18 bukan sahaja menafikan hak rakyat tetapi orang muda atau pelapis penentu masa depan negara.

"Macam mana kita boleh halang mereka? Kalau umur 18 tahun tidak boleh mengundi, tidak logik. Pada umur 18 tahun, mereka boleh dipenjara, boleh disabitkan kesalahan, boleh kahwin, boleh beli rumah, boleh muflis tetapi tidak boleh mengundi dan menentukan masa depan sendiri?

Iklan

"Macam mana Malaysia nak bergerak ke depan dalam konteks demokrasi dan memberikan penghormatan kepada orang muda?

"Saya rasa apa yang dilakukan oleh SPR ini menunjukkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) takut kepada orang muda kerana golongan ini akan bangkit dan menolak kerajaan ini pada pilihan raya umum (PRU) akan datang,” katanya selepas menjayakan Program Flashmob Bantah Darurat, Buka Parlimen di simpang empat Masjid Jamek Pasir Gudang, pada Rabu.

Iklan

Pada program itu, kira-kira 30 peserta termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya, Liow Cai Tung memegang kad yang menggesa kerajaan membuka semula Parlimen di samping melaksanakan Undi18.

Jimmy yang juga (ADUN Bukit Batu berkata, rakyat sudah muak dengan kerajaan dan percaya, lebih banyak program flashmob akan dibuat di seluruh negara sebagai protes menunjukkan rakyat tidak berpuas hati dengan tindakan kerajaan.

Antara peserta program Flashmob Bantah Darurat, Buka Parlimen di simpang empat Masjid Jamek Pasir Gudang, pada Rabu.

"Apa yang kita tidak faham, kenapa mengambil masa yang lama untuk melaksanakan Undi 18. Kerajaan ada 1.6 juta kakitangan awam, takkan tidak boleh gunakan segala sumber mereka untuk selesaikan masalah ini.

"Saya rasa ini semua hanya alasan politik. Semua rakyat negara ini ada MyKad, cucuk sahaja boleh dapat segala info. Tapi sehingga sekarang, SPR tidak boleh nyatakan apa masalah teknikal yang mereka hadapi,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun dijangka hanya mampu dilaksanakan selepas 1 September tahun depan, sedangkan ia sepatutnya dilaksanakan Julai depan.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, pihaknya harus bersikap realistik dengan perkembangan dan situasi semasa negara ketika ini yang secara umumnya masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan Covid-19.