Tangguh ECRL: Selangor kekal pendirian guna Jajaran Selatan

Iklan
Amirudin (tengah) menjawab soalan pemberita sewaktu sidang media di Bilik MTES, pada Rabu.

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor kekal dengan pendirian untuk menggunakan Jajaran Selatan (Hulu Langat-Sepang-Westport) bagi pelaksanaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di negeri ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, jajaran yang dicadangkan itu sudah terperinci dan lengkap sepenuhnya malah turut dibawa ke perbincangan akhir pada tahun 2019.

Iklan
Iklan

Amirudin berkata, Jajaran Utara (Gombak-Serendah-Pelabuhan Klang) yang dicadangkan oleh Kementerian Pengangkutan sebelum ini masih belum lengkap melibatkan beberapa perkara antaranya pengambilan tanah dan pemindahan penduduk setempat.

"Baru minggu lepas Kementerian Pengangkutan mengemukakan kajian mereka bagaimana Jajaran Utara akan dilaksanakan sedangkan Jajaran Selatan sudah lengkap sepenuhnya dan semua perkara telah diambil kira," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Surat Tawaran Biasiswa Khas Datuk Menteri Besar & Biasiswa Selangor Bitara yang berlangsung di Bilik Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES), pada Rabu.

Iklan

Isnin lalu, Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Tan Sri Mohd Zuki Ali memaklumkan kerajaan menanggung kerugian kira-kira RM1.25 juta sehari ekoran keputusan kerajaan Selangor menangguhkan persetujuan penjajaran semula projek ECRL.

Mohd Zuki berkata, projek kereta api mega kerjasama Malaysia dan China itu tertangguh kira-kira setahun dan mungkin berlanjutan sekiranya kerajaan Selangor mengekalkan pendirian tersebut.

Iklan

"Perbincangan masih terbuka namun kerajaan negeri kekal dengan pendirian bagi menggunakan Jajaran Selatan yang telah lengkap sepenuhnya," katanya.

Dalam pada itu, Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Ir Izham Hashim menerusi kenyataan pada Rabu berkata, kerajaan negeri tidak boleh dipertanggungjawabkan atas kerugian yang ditanggung kerajaan Pusat susulan kelewatan pelaksanaan projek ECRL di negeri ini.

Izham berkata, kerajaan Selangor berpendirian bahawa Jajaran Selatan membabitkan kos RM5.4 bilion lebih murah berbanding Jajaran Utara dan membuka banyak kawasan ekonomi baru di negeri ini.

"Walaupun ada usaha untuk ‘membetulkan’ Jajaran Utara tetapi kerajaan negeri masih tidak yakin dengan alasan bagi mengekalkan jajaran berkenaan oleh Kerajaan Pusat.

"Pemilihan Jajaran Selatan ini juga dapat mengelakkan gangguan kepada kawasan tadahan air di sekitar Lembangan Sungai Selangor," katanya.

Tambah Izham, Kerajaan Selangor konsisten dengan alasan dan pendirian awal bagi memilih Jajaran Selatan untuk laluan ECRL manakala laluan kargo KTMB pula dilaksanakan mengikut Serendah Bypass.

"Kerajaan negeri bersedia pada bila-bila masa untuk bekerjasama mempercepatkan pembinaan ECRL melalui Jajaran Selatan," katanya.