KUALA LUMPUR - Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan mengetuai misi perdagangan serta pelaburan ke Korea Selatan dan Jepun mulai 1 hingga 6 April ini.
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, misi itu merupakan langkah penting bagi meningkatkan usaha mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan serta hab penyumberan untuk perniagaan global.
"Misi ini akan memberi tumpuan kepada mengiktiraf kelebihan daya saing Korea Selatan serta Jepun dalam industri teknologi tinggi, pembuatan pintar, pendigitalan dan industri canggih," kata MITI.
Mohamed Azmin akan bermesyuarat dengan rakan sejawatannya, Menteri Perdagangan Korea Selatan Yoo Myung-hee di Seoul serta Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun Kajiyama Hiroshi di Tokyo.
Mesyuarat itu akan membincangkan isu-isu dua hala termasuk kerjasama mengenai inisiatif kepentingan bersama serta promosi hubungan perniagaan bagi memudahkan pertumbuhan perdagangan dan pelaburan.
Menurut MITI, Mohamed Azmin, akan mengambil peluang untuk memberi taklimat kepada rakan sejawatnya berhubung Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA), dasar pelaburan baharu negara bertujuan menarik pelaburan berkualiti dalam bidang teknologi.
NIA akan mengemudi Malaysia ke arah menjadi hab pelaburan serantau dengan wawasan untuk meningkatkan kekompleksan ekonomi, mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi, memperluaskan hubungan domestik, membangunkan kelompok baharu dan sedia ada termasuk meningkatkan keterangkuman.
Mohamed Azmin juga akan menghuraikan usaha berterusan Malaysia dalam menghidupkan semula pertumbuhan jangka panjangnya dengan pelaburan ke dalam modal insan, meningkatkan faktor produktiviti secara menyeluruh dan melonjakkan daya saing.
Ditambah dengan penubuhan Majlis Pekerjaan Negara, usaha ini bertujuan mengkaji semula ekosistem pelaburan dan menggalakkan keterangkuman dengan mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi dengan upah yang lumayan.
Mesyuarat perniagaan bersemuka juga akan diadakan dengan syarikat Korea dan Jepun yang terkenal serta bakal pelabur bagi meneroka bidang kerjasama perniagaan yang baharu, khususnya dalam industri terkini dan baru muncul seperti 5G, aeroangkasa, teknologi boleh diperbaharui, Internet Pelbagai Perkara (IoT) termasuk Kecerdasan Buatan.
Terdapat juga perbincangan dengan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Jepun bersama dengan rangkaian syarikat besar dan sederhana serta pemilik kecil dan tunggal.
MITI berkata, misi itu akan tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard Pencegahan Covid-19 yang ketat, dengan jadual perjalanan yang terkawal seperti yang dipersetujui oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara serta kerajaan Korea Selatan dan Jepun.
Ini merupakan misi perdagangan dan pelaburan rasmi pertama Mohamed Azmin sejak memegang jawatan pada 10 Mac 2020.
Jepun menduduki tempat keempat sebagai rakan dagang global Malaysia pada 2020.
Jumlah perdagangan antara kedua-dua negara mencatatkan sebanyak RM122.73 bilion yang mana eksport Malaysia ke Jepun berjumlah RM61.69 bilion dan import mencecah RM61.04 bilion.
Sehingga 2020, sebagai pelabur asing terbesar dalam sektor pembuatan untuk projek-projek yang dilaksanakan, Jepun telah terlibat dalam 2,761 projek perkilangan dengan jumlah pelaburan sebanyak RM91.4 bilion, menjana 348,475 pekerjaan.
Majoriti pelaburan adalah dalam produk elektronik dan elektrik, bahan kimia serta produk kimia, produk mineral bukan logam dan peralatan pengangkutan.
Sementara itu, Korea Selatan merupakan rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia pada 2020, dengan perdagangan antara kedua-dua negara mencecah RM79.78 bilion.
Jumlah eksport ke negara berkenaan berjumlah RM34.57 bilion manakala import bernilai RM45.21 bilion.
Korea Selatan juga merupakan pelabur asing ketujuh terbesar Malaysia dalam sektor pembuatan untuk projek-projek yang dilaksanakan.
Sehingga 2020, sebanyak 387 projek perkilangan telah dilaksanakan dengan jumlah pelaburan bernilai RM26.6 bilion, menjana 53,032 pekerjaan.
Kebanyakan pelaburan ini berada dalam sektor elektrik dan elektronik, produk petroleum, produk logam asas, produk mineral bukan logam serta produk kimia dan kimia. - Bernama