Kes tibi di Malaysia masih tinggi

Iklan
Gambar hiasan. - Foto 123rf

KUALA LUMPUR - Jumlah kes pesakit tibi atau batuk kering masih tinggi di negara ini walaupun pelbagai rawatan diperkenalkan dan peningkatan pengesanan kes telah dijalankan, kata pakar perubatan respiratori.

Dr Zamzurina Abu Bakar dari Institut Perubatan Respitori, Hospital Kuala Lumpur yang melahirkan kebimbangannya mengenai trend itu berkata, walaupun statistik kes tibi di Malaysia pada tahun lepas merekodkan 23,644 iaitu menunjukkan pengurangan berbanding 2019 lebih 26,000 kes, namun ia harus dibendung segera.

Iklan
Iklan

Menurutnya anggapan orang ramai bahawa tibi itu sekadar batuk biasa adalah kurang tepat kerana penyakit itu adalah jangkitan bakteria yang boleh berjangkit melalui udara dengan ‘seorang pesakit tibi boleh menjangkiti 10 orang’.

"Jika seorang pesakit tibi, terutama tibi paru-paru atau tibi larinks bercakap, ketawa, menyanyi, bersin atau batuk, (pesakit) boleh sebarkan kuman melalui udara.

Iklan

"Dan apabila orang kedua datang, kuman tibi itu boleh disedut oleh paru-paru orang yang kedua itu dan seterusnya dijangkiti kuman tibi,” katanya kepada Bernama hari ini.

Dr Zamzurina berkata demikian bagi mengulas usaha meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai penyakit tersebut sempena Hari Tibi yang disambut di seluruh dunia pada 24 Mac setiap tahun sebagai memperingati sejarah penemuan bakteria Mycobacterium tuberculosis oleh Dr Robert Koch pada 24 Mac 1882.

Iklan

Menurutnya antara simptom tibi ialah batuk lebih dua minggu atau lebih lama, demam biasa pada waktu petang dan malam hingga awal pagi, sejuk dan berpeluh pada waktu malam, hilang selera makan dan kurang berat badan.

Katanya bukan mudah untuk membunuh kuman tibi, pesakit memerlukan rawatan minimum enam bulan.

Menurut Dr Zamzurina bagi kebanyakan pesakit tibi, pengesanan dibuat melalui x-ray di bahagian atas paru-paru, di mana boleh dilihat terdapat berjuta kuman tibi memenuhi ruang kosong tersebut.

"Golongan yang berisiko tinggi adalah mereka yang tinggal di kawasan yang sempit dan sesak serta mereka yang mempunyai imunisasi yang kurang,” katanya.

Dr Zamzurina berkata, mereka yang mempunyai kurang imunisasi terdiri daripada pesakit HIV, kanser, perokok dan juga mereka yang mengambil pelbagai ubatan seperti pesakit autoimun serta pesakit diabetes.

Beliau juga berkata, masih terdapat kes tibi yang tidak dapat dikesan di negara ini.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menegaskan perlunya mengurangkan kes tibi secara global untuk menghapuskan penyakit respitori itu menjelang 2030.

"Tibi boleh disembuhkan dan kalau kita dapat rawatan, selalunya kita akan selamat dan tidak dijangkiti tibi semula tetapi kadang-kadang kita akan dapat jangkitan sekali lagi daripada orang lain,” katanya. - Bernama