KUALA LUMPUR - Seorang pekerja katering dipenjara sembilan tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu selepas didapati bersalah mencederakan kenalannya dengan memukul kepala dan rusuk kiri serta menetak pergelangan tangan kanan lelaki itu dengan sebilah parang, dua tahun lepas.
Hakim Izralizam Sanusi menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Amier Adry Faizal Akmar, 25, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap pada 1 Dis 2019.
Dia didakwa mencederakan Megat Mohd Shahrul Amyzan Rickynizam, 31, di bawah Blok E Projek Perumahan Rakyat (PPR) Beringin Jinjang Utara, Sentul di sini pada 1.30 pagi, 29 Nov 2019.
Pertuduhan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Muhammad Aiman Azahan memohon mahkamah mengenakan hukuman berat dengan mengambil kira kesalahan serius dilakukan tertuduh serta faktor kepentingan awam.
Peguam Leong Yuan Hung yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan kerana anak guamnya telah insaf.
Sembilan saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan iaitu tertuduh, memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula 18 Ogos 2020.
Di mahkamah sama, seorang penjaga kedai minuman keras dipenjara tiga tahun dan dikenakan satu sebatan selepas mengaku bersalah merompak wang tunai RM469.80 milik sebuah kedai serbaneka bersenjatakan sebilah parang, tahun lepas.
Mahkamah turut memerintahkan S Thiban Nair, 25, menjalani hukuman penjara dari tarikh tangkap 5 Sept 2020.
Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kedai serbaneka di Bukit Jalil, Cheras di sini pada 9.38 pagi, 11 Ogos 2020, mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh dikenakan denda dan sebatan
Pendakwaan dikendalikan TPR Muhammad Aiman manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - Bernama