Malaysia di landasan pemulihan ekonomi kukuh pada 2021

Iklan
Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR - Malaysia berada di landasan pemulihan ekonomi yang tepat dan dijangka melantun semula dengan kukuh tahun ini disokong oleh pelbagai dasar yang dilaksanakan kerajaan, kata Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

"Kita yakin pelbagai langkah-langkah ekonomi yang diambil kerajaan akan menyumbang kepada lantunan semula ekonomi yang kukuh pada 2021, disokong oleh komitmen penuh kita kepada konsolidasi fiskal dalam tempoh jangka sederhana hingga jangka panjang,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan
Iklan

Tengku Zafrul berkata, keberhasilan yang disasarkan kerajaan bagi tahun 2021 termasuk mencapai imuniti kelompok menjelang Disember 2021, tiga bulan lebih awal daripada jadual dan PKP Diperketatkan (PKPD) Bersasar yang berdasarkan data dan hanya jika perlu.

"Kerajaan juga berhasrat untuk mendorong pemulihan ekonomi dengan memastikan pembukaan semua sektor ekonomi dan peningkatan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung pandemik Covid-19," katanya.

Iklan

Beliau berkata, pelaksanaan Strategi Pemulihan Ekonomi Negara 6R (Resolve, Resilient, Restart. Recovery, Revitalise and Reform) akan merangsangkan lagi pemulihan ekonomi Malaysia.

Menurutnya, Malaysia kini berada di fasa kelima strategi 6R yang merangkumi pelaksanaan Belanjawan 2021 bernilai RM322.5 bilion, jumlah terbesar dalam sejarah negara, digabungkan dengan Pakej Bantuan Permai (RM15 bilion) dan program Pemerkasa (RM20 bilion).

Iklan

Pad Rabu, Bank Negara Malaysia mengumumkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) dijangka berkembang antara 6.0 peratus dan 7.5 peratus tahun ini berikutan sokongan permintaan luaran yang kukuh dan peningkatan aktiviti domestik.

Ini sejajar dengan unjuran Bank Dunia (6.0 peratus) dan Tabung Kewangan Antarabangsa (6.5 peratus) yang mana kedua-duanya mengunjurkan Malaysia bakal mencapai salah satu kadar pertumbuhan ekonomi tertinggi di rantau ini.

Tengku Zafrul percaya ekonomi akan kembali ke tahap pra-pandemik 2019 seawal pertengahan 2021 disokong oleh antara lainnya, peningkatan permintaan luaran berikutan peningkatan penggunaan teknologi, langkah pembendungan Covid-19 lebih bersasar, pelaksanaan pelan vaksinasi Covid-19 yang kemas dan tersusun dan pemulihan keadaan pasaran buruh secara beransur-ansur.

"Kita juga percaya langkah fiskal telah dan akan terus memainkan peranan penting dalam respons kerajaan terhadap pandemik itu bagi menjamin pemulihan Malaysia pasca-Covid-19,” katanya.

Menurutnya, langkah fiskal ini dan langkah-langkah lain menyumbang kepada pelbagai petanda pemulihan ekonomi yang memberangsangkan termasuk eksport tinggi, pembendungan gelombang ketiga kes Covid-19 yang berkesan di negara ini dan kadar penempatan buruh yang bertambah baik. - Bernama