GEORGETOWN - Ahli keluarga Adam Jaafar atau lebih dikenali sebagai Prebet Adam meminta orang ramai berhenti mengecam dan mengaibkan Allahyarham.
Adiknya, Hawa Jaafar, 56 berkata mereka tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang cuba mengambil kesempatan mengaitkan nama Prebet Adam.
Memetik laporan sebuah portal, Hawa berkata sudah banyak aib serta fitnah mengaitkan abang sulungnya itu digemparkan oleh pihak tertentu atas kepentingan sendiri tanpa memikirkan akibat yang ditanggung keluarga.
Menurut anak kedua daripada lapan beradik itu, kematian abangnya terpaksa disembunyikan daripada pengetahuan umum sehingga selesai upacara pengebumian susulan bimbang menjadi bahan kecaman netizen serta dipergunakan atas kepentingan individu tertentu.
"Saya tak mau ulas apa yang berlaku sebelum ini. Cukuplah 33 tahun kami sekeluarga menanggung fitnah dan kini Prebet Adam pun sudah tiada, saya harap cerita berkaitan arwah dihentikan.
"Hanya keluarga saja tahu hal sebenar berkaitan arwah abang dan jangan percaya cakap siapa pun, selain adik-beradik kandungnya.
"Dulu Prebet Adam masih ada, sekarang ini kami sudah kehilangannya, jadi tolong bagi ruang untuk kami (keluarga) tenang serta hidup aman, jangan asyik nak kecam,” katanya.
Beliau berkata, abangnya itu sudah tiada untuk sesiapa saja memohon maaf atas keterlanjuran kata serta fitnah yang ditaburkan.
"Sudah-sudahlah buka aib dan kecam arwah abang Adam yang kini sudah kembali kepada penciptaNYA.
"Harap orang ramai mendoakan abang saya dan jangan komen negatif sehingga mengguris hati kami sekeluarga yang baru kehilangan insan tersayang,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Prebet Adam meninggal dunia
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan Adam Jaafar atau lebih dikenali sebagai Prebet Adam dilaporkan meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang di sini pada pagi Selasa akibat jangkitan kuman di paru-paru.
Allahyarham menghembuskan nafasnya pada usia 57 tahun dan difahamkan jenazahnya dikebumikan di Datuk Keramat di sini, semalam (Selasa) dengan dihadiri ahli keluarganya.